:: Rnysa's Homemade Cookies ::
 gambar hiasan semata-mata
*Penulis rnysa
Emel Penulis relevankah_aku (alias) yahoo (dot) co (dot) uk
**Blog Penulis
http://rnysa.blogdrive.com
http://synar-hikari.blogdrive.com
Karya Online Rnysa
Relevankah Aku Di Hatimu? a.k.a RADHA
Relevankah Aku Di Hatimu 2 a.k.a RADHA 2
Relevankah Aku Di Hatimu 3 a.k.a RADHA 3
Relevankah Aku Di Hatimu 4 a.k.a RADHA 4
Cinta Sofea/Cahaya Sakura
Piano Berlagu Lagi
Dua Dunia
Cinta, Akhirnya Bahagia
Albatros: Antara Langit Dan Bumi
Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag
Albatros [HiKaRi]
Generasi 99 a.k.a Gen 99
1 Phase, 3 Phase
Relevankah Aku Di Hatinya? a.k.a REDHA
Hikari Express No Ainori
B-Wave Rnysa
Red Alert
Bulan Mei
Akta Hak Cipta 1987
Dapur Rnysa
B-Day Card & T-Shirt UniKL
Oven Rnysa
Pemenang Kuiz Bulan Mac
Perhatian
Karya Online Rnysa ini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.
~ Hak Cipta Terpelihara ~ Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada Karya Online Rnysa ini disiarkan semula (dalam mana-mana blog/forum/website selain daripada **blog penulis), disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain tanpa kebenaran dari pihak *penulis terlebih dahulu.
E-Novel Rnysa
Relevankah Aku Di Hatimu?
 The compilation of RADHA & RADHA 2 in edisi cetak
Cinta Sofea
"Mengapa didamba teman seistimewa Khadijah jika diri tak sesempurna Muhammad..."
Bahagian Satu 1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 11 | 12 | 13
Bahagian Dua 14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20
Bahagian Tiga 21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26
Bahagian Empat 27 | 28 | 29 | 30
** Relevankah Aku Di Hatinya? **
a.k.a REDHA
Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag
(formerly known as Relevankah Aku Di Hatimu 3)
Ada sejarah lama yang akan terbongkar...
Ada sejarah baru yang bakal terukir...
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12
1 Phase, 3 Phase
(also known as Relevankah Aku Di Hatimu 4)
{v = 0.1, 0.5, 0.9}
{v = 1.0, 2.0, 3.0}
{v = 4.0, 5.0, 6.0}
{v = 7.0, 8.0, 9.0}
{v = 10.0, 11.0, 12.0}
{v = 13.0, 14.0, 15.0}
|
Generasi 99
Intro
Hikari Express No Ainori
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10
11 | 12 | 13
E-Cerpen
Piano Berlagu Lagi
1 | 2 | 3 | 4
Albatros: Antara Langit Dan Bumi
(formerly known as Dua Dunia)
edisi cetak
Cinta, Akhirnya Bahagia
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6
Albatros [HiKaRi]
Intro
Tingkap dapur Rnysa
|
|
|
 |
|
Saturday, January 03, 2009
Antara Dua
Aku mengiring ke kiri. Mata dipejamkan rapat-rapat. Namun renungan mata
helang itu masih lagi mengganggu. Bagai cuba mengajak aku mengimbau
kembali kenangan lama, meraih kasih yang sepatutnya sudah tiada.
"Beritahu pada saya, bagaimana caranya saya dapat yakinkan awak
yang saya benar-benar dah berubah?" Soalan Haiqal itu terngiang-ngiang
di cuping telingaku. Soalan yang sama pernah ditanya suatu ketika
dahulu. Tadi dia mengambil peluang bertanya lagi. Dan aku seperti
selalu hanya menjungkit bahu tanda tidak tahu.
Rasa bersalah menghantui. Aku percaya dia sudah lama berubah. Cuma
aku takut andai dia tahu tentang itu, dia akan terus mengejar aku.
Nyata aku silap dalam menduga hati lelaki itu. Rupa-rupanya lakonan aku
itu tidak pernah mematahkan semangatnya. Walaupun empat
musim menyepikan diri, namun dia masih tidak jemu datang mengetuk pintu
hatiku. Terus berharap suatu hari ia akan terbuka jua untuk dirinya.
Kini dia kembali lagi menagih kasih.
Tadi dia menyebut tentang pertemuan di dalam kedai buku Kompleks
Perdana Siswa. Apa yang berlaku sebenarnya waktu itu? Aku merenung
siling cuba mengingati. Oh, itu waktu sebelum dia berubah. Aku lupa
yang itu kerana teringat yang satu lagi, yang lebih penting.
Waktu itu aku sedang membelek-belek novel yang elok tersusun di
atas rak. Mencari novel terkini di pasaran. Cadangnya mahu
menyambar sebuah, dua buat peneman di kala bosan. Tiba-tiba terasa diri
diperhatikan. Segera aku menoleh.
Haiqal!
Darahku berderau. Dia bersandar pada rak buku yang terletak di
belakang aku sambil berpeluk tubuh. Aku tak pasti sudah berapa lama dia
memerhati begitu.
"Assalamualaikum..." Suara garaunya menerjah telinga. Senyuman
tidak putus-putus dari bibir merahnya. Sepasang mata helangnya masih
merenung aku. Walaupun dia sudah tak segalak dahulu, namun tabiat
merenung orangnya itu masih tak dapat dibuang. Kerana renungan tajam
itu juga buat aku terkenang-kenang.
Salamnya kusambut. Rasa malu dan marah bercampur aduk. Aku tidak
gemar diperhati secara senyap-senyap begitu. Lebih-lebih lagi oleh
Haiqal, si pemilik mata helang. Tanpa mempedulikan dirinya, aku terus
mencapai sebuah lagi novel lalu membaca sinopsis pada kulit belakang.
"Saya datang nak beli buku untuk hadiah paksu saya. Kebetulan pula
nampak awak di sini, jadi saya pun datanglah tegur. Lagipun dah
lama kita tak bertegur sapa, sejak peristiwa di luar kelas tahun
lepas." Ceritanya tanpa disuruh.
"Haah." Sahutku sambil memandang dia sekilas.
Memang sudah lebih satu semester dia tidak menegurku. Cuma kalau
kami berpapasan, dia akan melemparkan senyuman. Tidak pernah lebih dari
itu. Mataku kembali mengadap novel di tangan. Cepatlah pergi dari sini,
gesaku dalam hati.
"Awak masih sedingin dulu, Khadijah. Beritahu pada saya, bagaimana
caranya saya dapat yakinkan awak yang saya benar-benar dah berubah? "
Aku membiarkan soalan itu dibawa angin lalu.
Dia menghela nafas panjang. "Awak memang suka baca novel ya. Saya
pun suka juga. Tapi biasanya pinjam dari library atau tumpang baca
kawan-kawan punya aja. Jarang beli untuk koleksi sendiri." Beritahunya
lagi.
"Ohh.."
Keadaan menjadi sepi seketika.
"Awak marahkan saya, Khadijah?" Dia bersuara lagi.
Oh, masih ada lagi rupanya. Ingatkan dah pergi.
"Tak adalah." Jawabku tanpa memandangnya. Dia bukannya buat salah
apa-apa. Kenapa perlu marah-marah? Cuma rasa sedikit terganggu. Itu
saja.
"Kalau tak marah, kenapa cakap membelakangkan saya macam ni?" Ujarnya mendatar. Bunyi seperti orang sedang menahan marah.
Aku dapat merasakan kelainan pada suaranya itu. Aku menarik nafas
panjang. Dia sepatutnya faham sendiri yang aku kurang senang dengan
kehadirannya di sini. Jadi apa ditunggu lagi, cepat-cepatlah pergi.
"Memang dari tadi awak dah berdiri kat belakang saya, kan." Aku memulangkan paku keras.
Tak semena-mena aku rasa bersalah pula kerana berkasar pada anak
yatim seperti dia. Cepat-cepat aku menambah, "Ermm... saya kena cepat
pilih novel ni. Kejap lagi papa saya nak datang jemput."
"Ohhh... papa awak yang datang bawa Merc hitam tu ya?"
Aku mengangguk.
"Kaya betul keluarga awak. Boleh pakai kereta mahal-mahal."
Ujarnya, agak sinis. "Patutlah awak tak sudi pandang muka orang miskin
macam saya ni. Anak yatim pula tu." Tambahnya lagi, seperti berkecil
hati pula.
Aku cepat-cepat berpaling. Pandangan aku jatuh pada riak wajahnya
yang sudah berubah. Renungan dia tidak selembut biasa.
Marah, sedih... semuanya menjadi satu. Aku tergamam. Tak berniat pula
hendak menyinggung perasaannya. Tapi tak tahu pula tiba-tiba
Haiqal mahu terasa hati dengan aku.
"Maaf kalau saya terkasar bahasa tadi. Saya tak sangka awak nak berkecil..."
Haiqal cepat-cepat memotong, "Mungkin sebab tu juga awak tak mahu
terima saya, walaupun saya dah berubah. Sebab saya ni orang biasa,
tak ada banyak harta. Betul kan?" Mata helangnya terus merenung aku.
"Haiqal, apa yang awak merepek ni?" Aku jadi sedih tak semena-mena.
Kolam mata sudah berkaca. Sampai hati dia menuduh aku begitu. "Saya
minta maaf..." Belum sempat aku menghabiskan kata, dia sudah menyampuk.
"Hina sangat ke diri saya sampai awak tak sudi tengok muka saya ni?"
"Haiqal!" Aku separuh menjerit. "Cukuplah tu. Kan saya dah minta maaf."
Dia nampak marah sungguh. "Selama ni saya ingat awak tak
macam perempuan lain. Mata duitan. Materialistik. Rupanya awak pun sama
aja." Katanya perlahan sebelum berlalu.
Aku rasa terpukul. Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Tahu-tahu
saja dia sudah tiada di hadapan aku. Ya Tuhan, apa sebenarnya yang dah
terjadi ni?
Langkah lelaki itu semakin laju. Cepat-cepat aku letakkan novel di
tempatnya semula dan berlari mendapatkan lelaki itu. Dia sudah berada
di kaunter pembayaran.
"Haiqal..." Aku memanggil lagi.
Tetapi dia tidak mengendahkan lalu segera mengambil begnya
di rak berdekatan pintu keluar. Sempat dia melemparkan pandangan tajam
sebelum berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga.
Aku terus hilang mood untuk membeli buku. Lalu mengambil keputusan
keluar juga. Mana tahu Haiqal menunggu di luar. Mungkin dia sekadar
berlakon marah. Berlakon? Aku rasa betul-betul marah tadi. Agaknya
sekarang dia sudah membenci aku. Menyesal kerana mahu berkawan dengan
budak kaya sombong seperti aku.
Malangnya dia juga tiada di luar. Tak apalah. Mungkin kalau
bertembung di AAJ nanti aku akan minta maaf semula. Lalu aku terus
menapak lambat-lambat ke Pejabat Pos di tingkat atas dalam bangunan
yang sama. Aku bernasib baik kerana bertemu dengan Haiqal di situ.
Orang agak ramai hari itu sampaikan terpaksa beratur panjang
begini. Aku mengambil tempat di belakang Haiqal. Hati dipalu debar
tidak bertepi. Aku cuba gagahkan diri menegur lelaki itu. Rasa macam
kupu-kupu merayap dalam perut. Tak selesa.
"Haiqal..."
Dia berpaling. Nampak terkejut.
Aku memegang tali beg lebih erat. Mencari sedikit kekuatan. Baru
sahaja hendak membuka mulut, dia terlebih dahulu memohon maaf.
"Sorry... Saya tak patut naik angin tadi. Lepas tu tuduh pula awak
macam-macam." Tuturnya, lembut.
Aku menggeleng. "Salah saya juga sebab kurang adab. Maafkan saya..."
Dia senyum. "Lupakan. Anggap ianya tak pernah berlaku." Dia diam
seketika. "Datang sini buat apa? Cari saya? Ikut saya.. macam
saya ekori awak dulu?"
Aku tergelak. "Beli setem." Balasku sambil menayangkan surat di tangan.
"Surat untuk siapa tu? Buah hati?"
"Mana ada buah hati. Untuk kawan di UTM. Hanis namanya."
"Ohh..." Dia tersenyum puas hati. "Kiranya saya masih ada harapan lagilah..."
Aku pura-pura tidak mendengar. "Awak pula buat apa kat sini?"
"Nak hantar sikit duit buat ibu saya. Duit scholarship baru masuk, kan."
Timbul rasa simpati. Hati berlagu nada sendu. Selama ini aku tidak
sampai hati hendak memarahi dia kerana aku tahu dia anak yatim. Sebab
itu aku biarkan sahaja Haiqal yang agak nakal itu mengusik. Cuma pernah
sekali saja aku meninggikan suara. Waktu itu aku benar-benar sudah
hilang sabar dengan lelaki ini.
"Kenapa awak tenung saya macam tu?"
Aku menggeleng.
"Saya tahu awak nak cakap sesuatu. Cakap ajalah..."
Apa yang patut aku cakap? Aku mendongak pada wajah lelaki yang dua
jengkal tinggi daripada aku itu. Pandangan terhenti pada mata
helangnya. Timbul idea.
"Mata awak... mata awak beritahu, sebenarnya Muhammad
Haiqal seorang lelaki yang baik. Hatinya lembut dan halus." Aku
memutarkan sedikit jawapan. Tak sampai hati rasanya hendak mengungkit
tentang masa silamnya. Tapi memang benar, renungannya tajam tapi lembut.
"Oh, sekarang mata saya pula pandai berkata-kata ya?"
Akhirnya kami ketawa bersama.
Usai urusan di Pejabat Pos, aku dan Haiqal menghayun langkah menuju
Dewan Tunku Canselor (DTC). Aku telah berjanji dengan papa di
situ. Haiqal pula mahu pulang ke kolejnya. Buat pertama kalinya kami
berdua berbual, tapi bukan berbicara soal hati. Saling bertanyakan
universiti dan kursus pilihan masing-masing kerana tak lama lagi kami
perlu mengisi borang khas berkenaan hal itu.
"Nur?"
"Papa..."
Aku terperanjat melihat papa sudah tiba di parkir depan DTC.
Dia memandang aku dan Haiqal tidak berkelip. Walaupun jarak kami berdua
agak jauh, namun mungkin orang lain akan nampak seperti kami sedang
berjalan beriringan.
"Awal papa sampai." Aku terus bersalam dan tunduk mengucup
tangannya. Dan sebagai balasannya dia mencium dahiku. Papa memang buat
begitu pada kami adik-beradik.
"Mungkin Tuhan nak tunjukkan sesuatu hari ni. Digerakkannya hati
supaya datang awal. Lalu dapat tangkap anak papa tengah berdating."
Usik papa lalu pandangannya jatuh pada Haiqal.
"Papa!" Aku membeliak mata besar-besar.
Wajah Haiqal sudah merona merah. "Kami bukan dating, pakcik. Kebetulan nak pergi arah yang sama." Dia menjelaskan.
"Betul tu." Aku menyokong.
"Hmmm..." Papa merenung wajah aku dan Haiqal silih berganti. "Tak mahu perkenalkan kawan Nur ni pada papa?"
"Haiqal Irsyad, kawan satu batch Khadijah." Haiqal lebih pantas bertindak. Dia menyalami dan mengucup tangan papa.
Perasaan aku tersentuh. Orangnya nampak berbudi bahasa. Macam mana
boleh jadi mat romeo semasa di sekolah? Ah, setiap orang mempunyai masa
silam. Aku pun bukan bagusnya mana hendak menilai baik buruk orang.
Yang penting, setiap insan mesti punya keinginan dan berusaha menjadi
insan yang lebih baik. Hari ini lebih baik daripada semalam.
"Nak pergi ke mana ni? Boleh pakcik hantarkan." Pelawa papa.
"Tak apalah pakcik. Mengganggu pula saya ni." Dia berbasa-basi.
"Apa pula mengganggu. Panas hari ni. Marilah naik kereta pakcik." Papa masih memujukdan akhirnya Haiqal bersetuju.
Papa dan Haiqal berbual panjang di dalam kereta. Mesra. Papa nampak
sedih apabila mendapat tahu lelaki itu kematian ayahnya akibat barah
paru-paru empat tahun yang lalu.
"Haiqal Irsyad... sedap namanya. Siapa yang beri?"
"Arwah ayah saya, pakcik."
"Oh." Papa mengerling ke arahku. "Boleh pakcik tahu nama penuh Haiqal?"
"Muhammad Haiqal Irsyad bin Hammadi."
Air muka papa berubah. "Muhammad?"
Papa memandang aku. Aku tahu maksudnya itu. Dia pasti teringat akan
pesanan Tok Lebai yang satu itu. Mungkin papa terfikir Haiqal adalah
orang yang dimaksudkan.
"Haiqal." Akhirnya papa bersuara semula.
"Ya pakcik."
"Berkawanlah dengan Nur baik-baik."
Mungkin atas restu papa itu, Haiqal memberanikan diri menawarkan
cintanya selepas tamat peperiksaan Mombusyo. Namun aku rasakan terlalu
awal untuk menerima seorang lelaki lebih daripada kawan. Biarlah
bercinta dengan buku dahulu. Tentang jodoh pertemuan, tunggulah aku
dewasa kelak. Waktu itu aku sudah cukup kuat untuk mengawal diriku.
Lagipun dalam Islam mana ada istilah cinta sebelum nikah begitu.
Aku menghela nafas panjang. Lamanya aku hanyut berangan yang
bukan-bukan begini. Banyak lagi perkara penting yang menuntut
perhatianku. Bukannya memikirkan perihal diri pemilik sepasang mata
helang itu. Apa sahaja yang berkaitan dia telah lama aku simpan dalam
peti kenangan. Aku mengimpikan kehidupan yang tenang tapi begini juga
akhirnya.
"Saya pernah cuba lupakan awak, matikan dari ingatan saya tapi tak
boleh juga." Beritahu Haiqal semasa menemankan aku petang tadi.
Alangkah bagusnya jika aku tidak bertemu dengannya di sini. Seribu
kali lebih baik jika kami terus tidak bertegur-sapa. Di mana akhirnya
telah membuka peluang dia mengungkit kisah lama. Hari ini dia bertanya
lagi. Aku kira dia akan pergi jauh dari hidupku buat selama-lamanya
tetapi itu tak berlaku. Dia lelaki yang tidak pernah mengenal erti
putus asa.
"Lepas sotsugyou nanti, saya akan datang menyunting mawar
idaman. Sebabnya... sama seperti dalam surat terakhir saya dulu - awak
adalah perempuan yang muncul dalam mimpi... selepas lama saya minta
petunjuk dari Allah. Memang awak orangnya, tiada yang lain. Tunggu
saya, Khadijah. Tak lama mana, setahun aja lagi. Tunggu ya..." Ujarnya
penuh mengharap.
Aku tersenyum pahit.
Lalu di mana hendak aku campakkan Mukhriz yang sudah terang-terangan
ingin melamarku? Sukarnya mahu menzahirkan isi kasih yang terpendam,
kemas dan amat rapi ini. Jauh di sudut hati, pada siapakah kasih
ini tertumpah? Jika dibiarkan ia tumpah begitu saja yang lelah diriku
jua. Antara kesungguhan Mukhriz dan kesetiaan Haiqal, yang mana
satu jadi pilihan?
Posted at 10:35 am by anrys
|
|
|