Suluhkan Sinar
Nampaknya Haiqal tidak boleh menerima hakikat yang dia sudah tiada tempat di hati aku. Sebelum bertolak ke tempat Muna, aku menerima panggilan telefon dari lelaki bermata helang itu. Nada suaranya yang marah-marah membuat aku cukup tidak senang hati. Dia fikir aku sengaja mereka-reka cerita, kononnya tiba-tiba sahaja aku sudah punya pilihan lain.
"Dari mana datangnya? Takkan jatuh dari langit!" Perlinya sinis.
Aku betul-betul kecil hati bila dia cakap begitu. Tetapi setelah memikirkan Mukhriz itu ibarat bulan yang jatuh ke riba, aku maafkan kesalahan Haiqal yang satu itu. Mungkin dia cuba menggunakan bahasa kiasan dengan aku. Bukankah orang Melayu tinggi budi pekertinya dan cakapnya berlapik. Walaupun sebenarnya Haiqal masih tidak tahu siapakah gerangannya pilihan hati aku itu.
"Saya tak faham dengan awak, Adi. Apa sebenarnya ni? Kenapa awak tolak cinta saya? Kan kita dah janji hari tu yang awak akan tunggu sampai kita sotsugyou. Kenapa tiba-tiba pula jadi macam ni? Awak mungkir janji."
"Saya mana ada janji macam tu." Nafiku.
Dia merengus kasar. Aku jadi sedih. Dia kembali menjadi Haiqal yang dahulu. Haiqal yang selalu mendesak dan tidak boleh menerima jawapan 'tidak' dari seorang perempuan. Aku kira dia akan menghormati keputusanku, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
"Awak terburu-buru sangat buat keputusan!"
Aku hanya berdiam diri. Tidak mahu mencurahkan minyak lagi ke dalam api yang sedia marak. Haiqal terus melepaskan segala yang terbuku di hati. Melahirkan rasa terkilannya sebab aku minta dia melupakan hasratnya untuk melamar aku.
"Cuba beritahu saya... siapa lelaki yang kononnya dah tawan hati awak tu, Khadijah?"
Suara Muna yang mengerang halus membunuh khayal. Aku lekas bangun dari pertiduran lalu merapati Muna yang duduk di atas katil. Kedua tangannya memegang perut. Aku jadi panik.
"Kenapa Muna?" Tanya aku sedikit cemas.
"Sakit..." Balas Muna dalam kepayahan.
Aku mati akal. Tiba-tiba rasa menyesal pula tidak ambil bidang medic sebagai pilihan. Kalau tak, boleh juga aku buat yang patut. Aku betul-betul tak boleh berfikir sekarang. Malam ini bulan mengambang. Cahaya yang terang-benderang itu melimpah-ruah hingga mampu menerangi bilik kecil ini. Jadi, aku boleh lihat wajah Muna yang berkerut seribu.
"Baby dah nak keluar ke?"
Muna tidak menjawab. Dia cuma tergeleng-gelang. Aku tidak faham akan maksudnya itu. Aku cuba mengingati bagaimana mama menempuhi situasi begini. Kosong. Segala-galanya kosong.
"Selawat." Kataku tiba-tiba. Ryn pernah beritahu, setiap kali dia sakit senggugut, dia akan berselawat ke atas nabi. Insya-Allah, kesakitan itu akan hilang seiring lafaz selawat itu. "Kalau sakit sangat, kita pergi hospital ya." Sambungku lagi.
Muna mengangguk lemah. Sementara itu, aku pula membaca surah tiga Qul, menghembuskan pada tangan dan mengusap perut Muna. Aku ulangi beberapa kali. Mudah-mudahan kesakitannya akan berkurangan. Saat ini aku rasa terkontang-kanting tanpa senpai-senpaiku. Kak Ija sibuk dengan persediaan happyou (presentation) dan kemudian perlu berkemas untuk pulang ke Malaysia. Kak Fida pula masih ada test apa entah.
"Kak Adi." Muna bersuara.
Aku menarik nafas lega setelah mendapati Muna yang sudah kembali tenang. Sudah tiga malam berturut-turut Muna sakit hendak bersalin begini. Pagi tadi kami sudah ke hospital. Walaupun begitu, kami diminta pulang dahulu kerana 'masa'nya belum tiba lagi.
"Dah tak sakit lagi." Kata Muna lalu merebahkan diri semula di atas katil.
"Kasihan Muna... terpaksa tanggung semua ni sendiri."
Muna tersenyum pahit. "Dia dah bahagia dengan dengan orang lain, kak. Dia janji macam-macam dulu. Nak kahwinlah apalah. Segala jenis janji manis ditaburkan dan saya yang bodoh ni percaya bulat-bulat. Tapi bila tahu saya pregnant, terus dia minta putus."
"Dia dengan siapa sekarang?" Aku memberanikan diri bertanya.
"Kohai dai lain, yang baru datang Jepun." Balas Muna dengan suara mendatar.
Aku mengucap panjang. "Habis tu Muna tak warning kohai tu? Nanti jadi benda yang sama lagi. Kita dikira bersubahat sebab diamkan aja perbuatan lelaki tu. Beritahulah nama dia..."
"Tolonglah kak. Jangan ungkit pasal dia lagi. Saya dah benci dengar tentang dia. Dan seboleh-bolehnya saya tak mahu ingat langsung lelaki tu. Nak sebut nama dia pun buat saya rasa sakit hati. Meluat! Benci!" Kata Muna dengan suara meninggi.
"Gomen... Kak Adi tak berniat pula nak buat Muna marah." Aku diburu rasa bersalah kerana membangkitkan semula episod hitam ingin dia lupakan buat selama-lamanya itu. "Tidurlah. Dah berapa malam Muna tak tidur lena." Ujaraku lagi sambil menepuk lembut belakangnya.
Suasana menjadi hening. Hanya kedengaran bunyi kenderaan yang bertali-arus di luar sana. Rumah Muna ini letaknya di sebelah jalan besar.
"Ingat lagi macam mana saya rayu dia dulu. Sampai saya sanggup datang menyembah kaki dia." Cerita Muna semula dengan tiba-tiba. "Tapi dia buat tak tahu aja. Pandang saya macam sampah. Letakkan seluruh kesalahan pada saya. Sebabnya mudah... saya yang 'serahkan diri' dengan rela hati. Tapi dia buat-buat lupa... dia yang berkali-kali dia minta. Kononnya nakkan bukti saya cintakan dia. Kalau tak, dia nak minta putus."
Aku selalu terbaca kisah begini di dalam majalah. Tetapi bila ianya berlaku di depan mata sendiri, aku tidak dapat menerima hakikatnya. Bagaimana seorang perempuan itu begitu mudah menyerahkan dirinya pada lelaki? Mungkin aku tidak pernah bercinta dan tidak pernah berhadapan dengan lelaki seperti itu. Jadi, aku tidak berapa faham tindakan mereka ini.
"Entah syaitan mana yang merasuk saya. Hilang pertimbangan. Dah tak boleh nak fikir buruk baik. Akhirnya saya mengalah juga. Walaupun sebenarnya saya dah mula sedar... kali pertama dia minta tu... dia bukanlah lelaki yang baik. Sekadar berpura-pura cintakan saya sepenuh hati." Muna melepaskan keluhan berat.
"Mak ayah Muna pula macam mana?" Aku tidak sempat bertanya pada Kak Fida kerana terlalu sibuk dengan peperiksaan baru-baru ini. Kak Fida yang banyak menguruskan hal Muna. Dia juga yang menawarkan diri untuk mengkhabarkan berita ini pada keluarga Muna di Malaysia.
"Mereka boleh terima keadaan saya. Maklah paling sedih saya boleh jadi macam ni. Lagipun Kak Adi tahu kan saya ni anak sulung, harapan keluarga..." Luahnya sedikit sebak.
"Dahlah tu. Yang penting sekarang Muna dah insaf kan. Cubalah bina hidup baru lepas ni. Muna pun dah ada amanah besar sekarang, anak dalam kandungan tu." Aku cuba berikan sedikit semangat pada dia supaya tidak cepat berputus asa. Rahmat Allah itu Maha Luas.
Dia menghela nafas panjang. "Tapi siapalah yang sudi terima Muna yang penuh dosa ni, kak." Tuturnya perlahan.
"You know what... Kak Adi dapat rasakan sesuatu yang baik akan berlaku pada Muna dan anak ini. Tak tau kenapa tapi firasat itu kuat." Wah, yakinnya aku. Sekarang aku sudah serupa arwah Tok yang memberi tafsiran tentang masa depan orang.
"Kak Adi tolonglah doakan untuk saya. Moga-moga saya dan baby ni selamat. Masa depan kami terjamin. Doa orang baik-baik macam Kak Adi ni Tuhan cepat makbul." Kata Muna dengan penuh rendah dirinya.
"Kita doa sama-sama ya."
Tanggal 13 Mac, buat kesekian kalinya aku bergelar Aunty Khadijah. Tak semena-mena diri ini terasa tua pula. Sudah mencapai taraf makcik-makcik. Waktu Kak Fida melahirkan Umar lebih kurang setahun yang lepas pun aku mengatakan perkara yang sama. Kenapalah aku selalu sahaja mahu perasan muda? Padahal setiap tahun umur kian bertambah dan makin lama makin dekat pada kematian!
Muna selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal, setelah bertarung nyawa di dalam labour room lebih lima jam. Sepanjang tempoh itu dia ditemani oleh Kak Fida. Mujur bakal doktor itu tiba tepat pada waktunya. Kalau tidak, kelam-kabut juga aku seorang diri. Awal pagi tadi Muna sakit-sakit semula. Langsung kami bertiga bergegas ke hospital dengan teksi. Kini si ibu sedang berehat selepas menerima tiga jahitan.
"Mujahid sengaja nak tunggu hari ni ya. Nak sambut birthday sama Aunty Khadijah." Kata Kak Fida lalu mengucup dahi si kecil yang masih merah.
Ya, aku dan Mujahid berkongsi tarikh lahir yang sama. Dan, hari ini juga aku secara rasminya menjadi tunangan Mukhriz! Majlisnya berlangsung pada hari ini. Hadiah hari lahir, kata Mukhriz. Setiap kali mengenangkan tentang itu, wajahku akan terasa panas. Ditambah pula sekarang ini Kak Fida makin bermaharajalela mengusik aku dengan adik angkatnya itu. Rasanya sistem jantung aku boleh down kalau kadar degupannya terus tidak stabil begini.
"Harapnya nanti jadi baik macam Kak Adi... dan Kak Fida juga." Tambah Muna.
Aku rasa terharu dengan penghargaan Muna. Pandangan dilabuhkan pada Mujahid yang sedang menguap. Comel betul dia. Aku terasa geram lalu segera mencuit hidungnya yang kecil.
"Muna, ada seorang brother ni nak jumpa." Kak Ija muncul dari balik tabir.
Ibu muda itu segera mengenakan tudung kepala. Tidak lama kemudian, brother yang dimaksudkan datang menjenguk. Orangnya tinggi lampai, berkulit sawo matang. Wajahnya seperti orang dari negara timur tengah, satu kapal dengan Mukhriz. Dia membawa sejambak bunga yang digubah dalam bakul comel dan hadiah yang dibalut kertas warna biru laut.
Agaknya inilah brother dimaksudkan pagi tadi, getus hatiku.
"Ada seorang brother ni lama dah perhatikan Muna. Student master dari Morocco. Orangnya memang baik. Dia tahu pasal Muna dengan anaknya tu. Mulanya macam ni... pernah satu hari dia tolong Muna yang tiba-tiba pitam depan tosyokan (library). Bila dia tanya, Muna cuma bagi tahu dia tak sihat.
Dia tak puas hati. Jadi bila dia terserempak dengan akak, dia tanya lagi. Brother tu cerita, sebelum ni dia dah beberapa kali ternampak Muna menangis tersedu-sedu dalam tosyokan. Lepas dia asyik mendesak, akak pun ceritalah dari A hingga Z." Beritahu Kak Ija sementara kami menunggu Muna di bangku luar.
Lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Brother Ismail. Dia nampak malu-malu dikelilingi oleh kami yang perempuan ini. Wajahnya merah padam. Lama kemudian baru dia bersuara semula.
"Could I hold him?"
Muna mengangguk. Kak Fida menyerahkan Mujahid kepada Brother Ismail yang nampaknya sukakan budak kecil. Muhajid yang wajahnya persis anak Jepun itu dikucupnya berkali-kali.
"Kawaii desu ne. Just like his mother."
Muna tertunduk malu diusik begitu.
"What is his name?" Tanya Brother Ismail sambil mengelus rambut si kecil yang hitam lebat.
"Mujahid." Jawab Kak Fida.
"Oh, what a very nice name!" Ucapnya lalu tersenyum manis.
Mujahid bin Abdullah. Menurut kata Muna, dia berharap anaknya itu sentiasa bermujadah menentang hawa nafsu. Bila melakukan kesalahan segera bertaubat dan bila melakukan maksiat segera sedar serta memohon keampunan Allah.
Mendengar luahan hati Muna itu buat aku dan Kak Fida saling berpandangan antara satu sama lain. Dalam hati aku berdoa, agar semoga impian Muna dimakbulkan Tuhan.
Melihat cara Brother Ismail yang sesekali mencuri pandang pada Muna, aku semakin yakin tentang firasat aku terhadap gadis manis itu. Selepas ini aku mesti mengusul sesuatu pada Kak Fida. Muna perlukan tempat bernaung dan berteduh. Brother Ismail pun nampak gayanya dapat menerima diri Muna seadanya.
Aku kira Kak Fida dan Abang Zamri sedia menjadi orang tengah dalam menyatukan mereka berdua. Aku juga boleh minta bantuan Mukhriz dan pasti dia takkan menolak. Tiba-tiba aku rasa mahu menangis saat ini juga. Tuhan telah suluhkan sinar kasihNya menerangi hidup Muna setelah ianya suram dan kelam seketika. Benarlah seperti janji Allah, sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.