Cinta Di Hati Aku dan Kak Fida meninggalkan perkarangan hospital. Nampak saja sebuah teksi datang terus kami menahannya. Teksi tersebut berhenti betul-betul di hadapan kami. Pintunya terbuka secara automatik. Tanpa membuang masa, kami melangkah masuk. Naik bas mungkin lebih jimat sedikit tetapi kami berdua sudah terlalu penat, terutama sekali Kak Fida. Aku sempat juga tersengguk-sengguk di atas bangku panjang di luar bilik bersalin sementara menunggu saat kelahiran Mujahid. Kak Fida yang keletihan terlena sepanjang perjalanan pulang ke rumah Muna. Walaupun sudah biasa berdiri berjam-jam lamanya, dia terpaksa akur juga dengan tuntutan jasmani.
Sampai sahaja di rumah, Kak Fida terus menyegarkan badan. Aku yang berbau ubat setelah hampir seharian duduk berlegar-legar di dalam hospital menanti giliran. Mata tertumpu pada berita yang dipaparkan di kaca tv. Perut tak semena-mena berdondang sayang minta diisi. Lalu aku bangkit menuju ke dapur. Peti sejuk dibuka. Mencari apa sahaja yang boleh dimakan.
Pagi tadi cuma bersarapan
sandwich tuna dan air coklat. Tengahari pula makan
soba di kantin hospital. Malam sebelum itu menjamah mee goreng yang Kak Fida masak. Baru dua hari tidak menyentuh nasi badan mula rasa lain macam. Memang perut orang Melayu sungguh. Aku tersengih.
"Masak apa tu?" Kak Fida yang baru keluar dari
bathroom menyapa.
Aku berpaling. "Baru tanak nasi. Cadangnya nak buat nasi goreng,
okey tak?"
"Apa-apa ajalah, Adi. Kak Fida tak kisah." Dia berlalu dengan senyuman.
Sementara menunggu nasi masak, aku segera membersihkan diri dan bersiap sedia untuk solat jemaah bersama Kak Fida. Usai segala urusan, barulah aku mula masak untuk makan malam. Kak Fida pula berbaring merehatkan diri.
"Bila tengok wajah Mujahid tadi teringat pula pada Umar." Ibu muda itu bersuara dari dalam bilik. "Agaknya dia buat apa sekarang? Dah makan ke belum?" Sambungnya lagi, perlahan.
Aku memahami kerinduan yang ditanggungnya. Mana ada ibu yang sanggup terpisah jauh dari anaknya seperti Kak Rufaidah. Mesti siang dan malam dia terkenangkan Umar Aziz. Sekarang ini si kecil berada di bawah jagaan neneknya di Muar sejak setahun yang lepas. Bila tiba cuti panjang saja baru Kak Fida dapat balik menjenguk anaknya itu.
"Kak Fida tak sampai hati sebenarnya nak minta mak jagakan Umar. Tapi nak buat macam mana, Adi. Sekarang ni pun Kak Fida dah sibuk, naik
go nen (tahun lima) nanti lagilah. Dengan
test,
on-call, praktikalnya... tak terkejar, memang tak terkejar. Abang Zamri pun jauh nun di Iwate. Siapa pula nak jaga Umar nanti kan." Beritahunya suatu ketika dahulu.
Mujurlah keluarga mereka memahami dan sudi membantu. Tapi Kak Fida mesti tetap rasa terkilan kerana tidak dapat menjaga Umar dengan tangannya sendiri. Dalam masa dua tahun ini dia terpaksa melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu pada orang lain. Begitulah antara pengorbanan yang terpaksa dibuat bagi mereka yang berkahwin semasa belajar dan dapat anak awal. Walaupun dugaannya hebat tetapi rezeki yang Alllah limpahkan tiada tolok bandingnya.
Ramai juga pelajar oversea yang kahwin dalam usia yang masih muda lela. Boleh dikatakan rata-ratanya cemerlang dalam akademik. Teringat perbualan dengan Dang Adryna semasa di Oita beberapa bulan lalu. "Aku pernah dengar orang mengata, orang
join usrah cepat sangat kahwin. Gatal. Usrah ni dah jadi tempat cari jodoh. Aku geram betul. Takkanlah baru seorang, dua yang sesama jamaah kahwin awal, dah nak tuduh macam tu."
"Tak payahlah nak fikir apa orang cakap, Ryn. Kau sendiri pun tahu tuduhan mereka tu tak berasas. Dalam PKPIMJ ni baru dua pasangan yang kahwin, Kak Fida-Abang Zamri dengan Syidah-Razi." Aku cuba menenangkan dia.
Ryn melepaskan keluhan berat. "Sedih, sedih... musuh golongan yang nak bawa Islam, orang Islam tu sendiri. Kalau tak nak terima ajakan, duduk diam ajalah. Ini tidak... usaha dakwah tu pula yang ditentang dan ditabur segala macam fitnah. Manalah Islam tu nak maju."
Aku mengangguk setuju. "Dah jadi adatnya begitu... sejak dari zaman Nabi lagi. Jalan dakwah bukannya dihampar permaidani merah. Kau juga yang cakap begitu dulu." Aku mengingatkan dia.
"Kau pun tahu macam mana jamaah Rasulullah yang kecil dan tertindas dulu tu, dengan berkat kesabaran, keteguhan
dan kesediaan mereka berkorban harta dan jiwa, akhirnya dimenangkan oleh Allah, mengalahkan musyrikin, Yahudi, Parsi dan Rum dalam masa yang singkat. Ni kerana kemenangan tu datangnya dari Allah, setelah sempurna sebab-sebabnya... iman yang benar, azam yang kuat dan pengorbanan yang tinggi. Kita ni belum sampai tahap tu lagi, Ryn." Sambungku lagi.
Ryn mengiyakan. Matanya disorongkan padaku.
Aku menambah lagi, "Yang penting kita letakkan harapan tinggi dalam hati. Bila kita beriltizam dengan jalan Rasulullah, akan datang kemenangan untuk kita atasi musuh-musuh, seperti yang dah dicapai orang-orang Islam yang terdahulu dari kita. Ini ketetapan Allah, dan ketetapan Allah takkan berubah!"
"Adi nampak bahagia sungguh sekarang." Tegur Kak Fida semasa kami menjamu selera. "Dia sememangnya pilihan yang tepat, kan?" Keningnya terangkat sama.
Aku menyimpul senyum. Sekali jatuh suka selamanya menyinta, sekali terpaut selamanya setia, hatiku berbisik. Entah mengapa aku bersikap terbuka malam ini. Aku telah ceritakan kisah Haiqal yang turut ingin melamarku pada Kak Fida. Sebelum ini hanya papa, mama dan Hanis sahaja yang tahu. Awal-awal lagi aku minta Kak Fida berjanji supaya tak sampaikan hal ini pada Mukhriz. Biarlah aku yang beritahunya sendiri, itupun kalau dirasakan perlu.
"Waktu program kita dekat Oita dulu, jantung saya kejap
on, kejap
off. Nasib baik tak kena
infarction. Mukhriz dengan Haiqal asyik bergilir-gilir terjah otak ni. Bikin jantung saya penat aja." Aku berhenti seketika mencuri nafas. "
At last, jadi pun apa yang sepatutnya. Alhamdulillah..." Tambahku lagi, sedikit malu-malu.
"Sejak jadi tunang Mukhriz, Adi pun dah pandai berkicau. Menurun ke ni?" Giatnya.
Aku cepat-cepat melarikan pandangan, tunduk merenung nasi. Ketara sangatkah perubahan aku? Mukhriz pun usik begitu dulu. Aduh, malu aku malu...
Ketawa Kak Fida pecah. Aku pun tumpang sekaki. Dalam seronok kami ketawa, tiba-tiba rasa rumah ini bergoyang. Terus aku terdiam.
"
Jishin?" Aku melirik ke kiri dan kanan.
"
Kamoshirenai (Agaknya)..." Sahut Kak Fida.
Aku bertafakur seketika. Kenangan menggerunkan itu kembali menerpa fikiran. Pernah satu pagi aku terjaga dari tidur dan terasa katil bergoncang kuat daripada biasa. Aku yakin ia bukannya satu mimpi... ataupun aku sedang mamai. Sebab aku terdengar juga bunyi barang orang rumah atas terjatuh. Rumah kayu dua tingkat ini bergegar akibat pergerakan plat bumi, ibarat sebuah kapal dipukul ombak di tengah lautan. Lama juga, hampir satu minit. Tapi aku tidak lari ke mana-mana. Cuma terkebil-kebil di atas katil sambil memandang siling dan berdoa moga-moga ia tidak tiba-tiba runtuh menimpa aku. Dan agar kehidupan aku tidak berakhir di atas katil ini. Kalau ditakdirkan sudah sampai waktunya sekalipun, biarlah aku sempat mengucap kalimah syahadah. 'Pergi' dengan tenang sebagai seorang muslim.
Memang kehidupan kami di Jepun ini dilingkari pelbagai ujian dari Allah - gempa bumi, tsunami, taufan dan ribut. Gempa bumi dan taufan kerap berlaku apabila terjadinya pertukaran musim. Pernah sekali taufan teruk di Tokyo. Anginnya... jangan cakaplah. Aku yang ringan ini rasa bagai nak terbang. Mujur tidak keluar dalam berita perdana - Seorang Pelajar Malaysia Di Jepun Bertukar Menjadi
Superman (aku cuma mahu jadi
Miss Invisible semasa program
natsu lepas).
Dari pagi hingga ke malam langit bermuram durja, bercucuran air mata bagai sedang meratapi sebuah kematian. Angin pula mengamuk seperti Jebat yang menggemparkan bumi Melaka setelah mengetahui Tuah dibunuh. Namun keesokan harinya cuaca panas terik! Kadang-kadang Allah hilangkan matahari, Dia datangkan pula ribut dan petir. Lalu puas kita menangis ke mana perginya matahari, rupa-rupanya Dia hendak menghadiahkan pelangi. Subhanallah! Begitu hebat rencana Ilahi.
"Agaknya
yon do (empat skala Richter). Kalau
san do (tiga skala Richter) tak kuat macam tadi." Aku bersuara semula setelah gegaran berhenti, meneka berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas.
Kak Fida sekadar menjungkit bahu.
Aku memandang jam dinding. Pukul sembilan malam waktu Jepun, lapan waktu Malaysia. Tadi aku sudah minta kebenaran Muna menggunakan telefon rumahnya. Mahu buat panggilan ke rumah, bertanyakan majlis yang berlangsung siang tadi.
"Mama, Nur ni." Aku merengek manja sebaik sahaja mendengar suara mama di hujung talian. Rasa rindu menghambat diri.
"
Happy birthday, sayang." Ucap mama, lembut. "Semoga dipanjang umur dan murah rezeki. Hidup bahagia, berjaya dunia dan akhirat."
"Terima kasih ma." Aku menggigit bibir. Malunya hendak bertanya.
"Nur, bakal mentua nak bercakap ni."
Aku kaget. Darah gemuruh menyerbu. "Apa ma?
Aunty Pah ada kat situ?"
"Haah, semua ada lagi ni. Dah alang-alang berjumpa kan, mama ajak dinner terus kat rumah kita. Nak tunggu masa lain masing-masing sibuk. Sekejap ya, Nur."
"Ma..." Tak sempat aku menahannya, gagang sudah bertukar tangan. Aku menelan air liur. Macam mana ni?
First time nak bersembang dengan bakal mak mentua. Hati dipalu debar.
"Assalamualaikum Nur. Ni ibu Mukhriz ni. Nur sihat ke tu?"
"Waalaikumussalam. Saya sihat alhamdulillah.
Aunty sihat?" Balasku dengan suara bergetar.
"Alhamdulillah. Kami semua ada kat sini tapi sayangnya Nur tak ada sama. Kalau tak tentu seronok dapat kumpul semua sekali. Sibuk sangat ya?"
"Ermm... tu lah
aunty."
"Eh! Jangan panggil
aunty lagi, Nur. Panggil aja ibu. Nur kan dah nak jadi anak ibu."
"Baiklah ibu." Wajahku sudah terasa panas. Aku lihat Kak Fida yang sedang membentang
futon menjeling tajam. Mana aku hendak sorokkan muka?
"Masin mulut ibu. Kan ibu selalu usik dulu... mesti satu hari nanti Nur jadi menantu ibu. Baru cadang nak jodohkan dengan Mukhzani, si adik pula yang 'sambar'. Langkah bendul betul si Mukhriz tu, tak menyabar-nyabar. Abang-abangnya tak kahwin lagi, yang bongsu pula sibuk nak naik pelamin dulu." Seloroh
Aunty Syarifah Jamilah.
Aku tersipu-sipu malu dengan keramahannya itu.
"Nur nak bercakap dengan Mukhriz ke? Dia ada ni. Kejap ibu panggilkan..."
Aku ternganga. Baru hendak menghela nafas, suara Mukhriz sudah menerjah telinga.
"
Ya khalilati, kaifa haluki? "Ujarnya perlahan. Penuh ceria.
Kening aku terangkat. Rasa kurang senang terbit. Di kala keluarga kami berada di situ tanpa segan-silunya dia memanggil aku "
khalilati" -
kesayanganku. Di mana Mukhriz yang aku kenali dulu, Mukhriz yang menjaga adab pergaulannya?
"Khadijah
desu. Khalilah tu adik saya.
Ana bikhair alhamdulillah." Jawabku mendatar. "Saya tak suka awak panggil saya macam tu, Mukhriz. Belum tiba masanya lagi." Lalu aku berterus-terang. Tegas tetapi lembut.
"
Afwan..."
Suasana yang tadinya ceria bertukar dingin dalam sekelip mata. Masing-masing membatu. Aku menanti dia memulakan bicara semula dan mungkin dia jua begitu. Barangkali ketegasan aku tadi membuatkan dia takut untuk bersuara. Biarlah aku yang mengalah.
"
Kaifa haluka?"
"Alhamdullilah."
Senyap lagi. Terasakah dia?
"
Ana over-excited tadi. Maaf ya..."
"
Ana? Takkanlah baru tegur sekali dah nak ber'ana-enti'?"
"Amboi, garangnya dia hari ni. Tak suka dengar suara abang ke?"
Mataku terbeliak. Abang? Ewah, menggatal pula dia.
"Mukhriz..."
Dia ketawa halus. "Selama ni saya ingatkan awak jenis yang patuh dan taat. 'Saya yang menurut perintah'. Rupanya pandai melawan juga.
Interesting..." Mukhriz menyakat lagi.
Aku mengetap bibir menahan geram. Seronoknya dia mentertawakan aku.
"
Sanah helwa ya jamilah." Ujarnya setelah tawa reda.
Dahi aku berkerut. Apa dia fikir aku pakar Bahasa Arab? Aku pula mendiamkan diri.
"
Sanah helwa ya jamilah. Selamat hari lahir." Katanya semula setelah mendapati aku hanya membisu seribu bahasa.
"Oh,
thanks.
Syukran. Ingatkan apa tadi."
Perbualan kami terganggu seketika. Kedengaran suara ibu menyuruh Mukhriz memendekkan bicara kerana hari sudah lewat malam. Mereka sekeluarga perlu pulang. Mukhriz sempat berjanji akan menghubungi aku lagi sebelum pulang ke Jepun.
"Tak payahlah kerap sangat. Sekali-sekala pun dah cukup. Sebulan sekali ke..." Perlahan aku bersuara.
"Sungguh ni?" Mukhriz seperti terkejut dengan permintaanku.
"Hmm."
Dia menghela nafas panjang. "
Okey. Kalau awak dah kata macam tu, saya ikut aja."
Ketenangan meresap dalam jiwa. Kata-katanya itu bagaikan satu nikmat, menambahkan lagi rasa kemesraan aku kepada Mukhriz. Aku sedar bahawa nikmat itu datang dari Tuhan dan cinta pun datang dari Tuhan. Sebagaimana Allah telah menanam rindu di hati Adam serta menjadikannya orang yang paling asyik dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di dalam syurga. Adam dan Hawa.
Gagang telefon diletakkan perlahan-lahan. Aku menghilangkan diri ke bilik air dan kembali semula dalam keadaan berwuduk. Quran mini hadiah hari lahir pemberian Mukhriz yang diserahkan melalui Kak Fida dicapai dari atas meja. Aku menghidu baunya yang harum. Semerbak harum mawar. Aku senyum. Saat itu juga merasa diri dilamun rasa cinta yang sama seperti Adam. Walaupun Mukhriz kadangkalanya nakal dan suka mengusik, namun aku tetap bersyukur di atas kecantikan agama yang dimilikinya.
Allah Taala itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan bererti cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin mendalam. Cinta kepada Mukhriz bererti cinta kepada Pencipta. Moga Allah tetapkan hati aku di atas cinta ini, pintaku dalam hati.
Maafkan Khadijah, Muhammad. Khadijah tak dapat menantimu...
credit:
zuriyati, affaf, along & aniisa
rujukan:
Risalah Fikrah
Kisah Cinta Adam Dan Hawa