Demi Masa
Masa dan waktu merupakan nikmat dan kelebihan Allah kurniakan untuk manusia. Dia bersumpah dengan nama-nama makhluk ciptaan-Nya, seperti Dia bersumpah dengan nama-nama hari, adalah bertujuan untuk menerangkan kepada manusia betapa bernilainya masa dan kesan-kesan dari peredaran masa.
Akan tetapi, saat ini aku tidak berapa jelas tentang kepentingan masa itu. Kenapa aku perlu terperangkap di dalam keretapi pada waktu salji turun dari langit, bersama-sama dengan Syed Ahmad Mukhriz. Dia di hujung sana, aku pula di hujung sini. Bunyinya macam romantik saja, bukan.
Sudahlah tertinggal keretapi, terpisah dari kumpulan dan kini terperangkap pula dalam salji dengan 'dia'. Macam plot dalam sebuah cerita. Tetapi hakikatnya inilah yang terjadi. Bukannya kisah dongeng atau hikayat penglipur lara. Apa lagi fairytale. Ini adalah sebuah kisah benar!
Kalau difikir-fikir peristiwa begini boleh dimanfaatkan untuk dijadikan sebuah novel. Tentu menarik. Bilalah semangat menulis aku yang tenggelam akan timbul semula. Sejak tamat sekolah, sudah lama aku tinggalkan kegemaran yang satu itu. Yalah, aku kan sudah ada kegemaran baru - missing in action!
Hobi yang mengaibkan diri saja. Pasti akan disebut-sebut sampai tujuh keturunan pun takkan habis malunya. Atau seluruh keturunan aku akan menerima 'sumpahan' ini. Ish! Aku sudah mula merepek-repek tidak tentu hala.
Aku kembali menatap buku yang baru dikeluarkan dari dalam beg sandang tadi. Judulnya "Detik-detik masa" tulisan ulama terkenal, Dr. Yusuf Qardawi. Buku ini telah aku beli kira-kira setahun yang lepas. Selama itu jugalah ia menjadi perhiasan yang tersusun indah di rak biru rumahku. Begitulah nasib buku agama di rumahku. Kalau novel cinta tidak perlu tunggu sampai sehari semalam sudah berjaya dikhatam. Aku menggelengkan kepala mengenangkan sikap aku yang masih tidak berubah itu.
"Kenapa Kak Adi?" Tegur Salwa.
Aku menggeleng lagi. "Akak masih sedih pasal semua ni ke? Sudahlah tu... saya tak marahkan akak. Abang Mukhriz pun macam tu juga. "
Aku tersenyum tawar. Abang Mukhriz kamu tu sekadar menyedapkan hati akak aja, Salwa. Nanti tengoklah... akan ada musahabah berjela-jela dari barisan exco muslimin. Kalau nak dijadikan lebih menarik lagi, ustaz pun akan selitkan kisah ini dalam pengisiannya nanti. Buktinya semasa program natsu (musim panas) yang lepas. Betapa enaknya ustaz di depan memberi komen, mengeluarkan pelbagai dalil dan hujah sampaikan akak malu sungguh dan tak berani angkat muka. Kalaulah waktu itu aku boleh bertukar menjadi orang halimunan dan dapat larikan diri sekejap ke mana-mana, alangkah bagusnya.
Aku mengeluh. Berjalan seorang pun masalah, berkumpulan begini pun bermasalah. Tak pernah habis memberi masalah kepada orang. Kalau diikutkan hati, aku sudah takut dan enggan pergi ke program sebegini. Bimbang 'tragedi' yang sama akan berulang lagi.
Namun begitu, aku tetap pergi dan perkara yang sama tetap berlaku jua. Mungkin Allah mahu memberi pengajaran pada aku. Mungkin sebelum ini tahap kesabaran aku belum cukup. Aku masih berkeluh kesah bila menghadapi takdir yang telah ditentukannya.
"Allahumma inna na'uuzubika minal hammi wal hazn... Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari sedih dan duka," bisikku perlahan. Syahdu.
Apa yang menimpa diri seseorang bukanlah suatu kesalahan atau kekeliruan atau terjadi secara kebetulan. Semua yang sudah ditentukan takdir-Nya tidak mungkin salah atau meleset. Takdir Allah merupakan suatu kepastian... sama ada manusia itu rela menerimanya ataupun marah-marah, sama ada dengan sabar ataupun dengan gelisah. Orang yang berakal harus sabar dan rela agar tidak kehilangan pahala. Kalau tidak sabar dengan rela, maka 'sabar terpaksa' yang dilakukannya tidak ada nilainya baik dari segi agama ataupun dari segi moral.
Padahal Dia sedang cuba menerangkan kepada aku tentang erti kehidupan. Kehidupan dunia bukanlah syurga kebahagiaan atau tempat tinggal abadi, tetapi medan pelaksanaan tugas dan menempuh ujian dan cubaan. Dia ingin menjelaskan bahawa kehidupan dunia penuh kesulitan dan kepayahan. Sedangkan manusia itu juga diciptakan dalam susah payah.
Dia menciptakan kehidupan dunia ini bercampur antara kesenangan dan kesusahan, antara kenikmatan dan penderitaan, antara hal-hal yang disenangi dan yang dibenci. Tidak akan ada suka tanpa duka, atau kesihatan tubuh tanpa penyakit, atau istirehat penuh tanpa lelah, atau pertemuan tanpa perpisahan, atau keamanan tanpa ketakutan.
Itulah hakikat sebuah kehidupan yang perlu aku fahami sebenarnya. Aku sahaja yang masih tidak sedar dan mengerti. Pandangan mata hati aku terlindung kerana terlalu banyak titik-titik hitam yang mengotorinya. Lantas hati ini jadi sayu. Sebenarnya aku patut rasa bersyukur kerana terpilih menghadapi ujian ini. Bukan semua orang diberi peluang keemasan sebegini. Dia anugerahkan masa ini untuk aku berfikir tentang keluasan nikmat dan rahmat-Nya itu. Kolam mata terasa hangat lalu mengalirkan sungai air mata. Aku cepat-cepat menyeka hujung mata yang basah sebelum orang lain menyedarinya.
"Khadijah... kenapa menangis pula tu?" Suara Mukhriz bergema di cuping telinga.
Aku tersentak. Terus membatu. "Janganlah sedih-sedih macam ni... awak buat saya risau." Suara lelaki itu jelas menggambarkan kebimbangan.
"Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar..." Tuturnya lagi, lembut.
Aku mengetam bibir. Sebak. Rupanya diri aku tidak lepas dari perhatian-Nya dan juga lelaki ini. Berpayung di bawah lindungan kasih Ilahi.
"Saya tak apa-apa. Mata ni masuk habuk." Aku menggunakan idea lapuk itu dengan harapan dapat mengaburi mata dia dan Salwa. Moga-moga jawapan itu dapat mengunci mulut mereka daripada terus bertanya lagi.
Mukhriz dan Salwa berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Curiga dengan jawapan aku, barangkali. Biarkanlah...
Lampu cabin menyala tiba-tiba. Kedengaran pengumuman dari pemandu memberitahu bekalan elektrik sudah pulih seperti sediakala. Kemudian berkali-kali memohon maaf atas kelewatan yang berlaku. Begitulah budaya orang Jepun... cukup sensitif soal masa. Aku tersenyum kegembiraan apabila mendapati keretapi sudah mula bergerak.
"Kalau terus senyum begitu kan lebih manis," Kata Mukhriz, perlahan.
Aku menoleh. Pandangan kami berlaga untuk beberapa detik sebelum lelaki itu berlalu. Tapi senyumanku tercipta bukan untukmu, bisik hati kecilku.
Ya Allah, perlukah aku menghargai tiap detik yang berlalu ini sedangkan aku tidak selesa berada di dalam keadaan begini. Berdekatan dengan lelaki yang aku sukai. Perasaan aku akan mudah tergoda dan terganggu. Sememangnya Kau sedang menguji aku...
Hati ini takkan terusik lebih-lebih kalau Kak Fida tidak membawa perkhabaran itu. Sebelum ini kehidupan aku tenang-tenang sahaja. Aku tidak memikirkan selain dari belajar... dan belajar. Tanggungjawab itu yang telah diamanahkan kepadaku. Segunung harapan disandarkan di bahu ini. Tetapi, tiba-tiba sahaja ketenangan itu diragut. Lalu aku tersesat di dalam hutan rasa dan bagaikan tiada jalan pulang.
Lamunan aku terhenti setelah mendengar Salwa berdehem berkali-kali. Aku mengangkat kening lalu menumpahkan pandangan pada kohai (junior) yang sedang tersengih-sengih itu. Hati diburu tanda tanya.
"Kalau saya tanya sesuatu, jangan marah ya."
"Apa dia?"
"Kak Adi dengan abang Mukhriz tu ada apa-apa ke? Semacam aja saya tengok."
Aku menarik nafas dalam-dalam kerana soalan begini boleh menyebabkan jantung aku berhenti dari berfungsi tiba-tiba. Jadi aku perlu pastikan terlebih dahulu jantung aku menerima kandungan udara yang mencukupi. Wajah Salwa yang redup aku tenung dalam-dalam.
"Tak ada apa-apalah. Kamu ni terlalu banyak baca novel cinta. Pandangan kamu pun dah jadi tak berapa betul. Sebenarnya apa yang kamu nampak tu sebahagian dari ilusi optik." Aku berseloroh.
"Saya tanya betul-betul ni, akak pula jawab main-main." Kata Salwa lalu memukul lenganku. Geram.
"Logamaya, fatamorgana..." Sambungku lagi sambil ketawa halus.
Salwa mencebik bibir. Aku tidak jadi ketawa apabila mendapati wajahnya sudah masam seperti cuka. Perasaan bersalah bersarang di hati. Tak baiknya aku mempermainkan orang.
"Gomen, gomen... Kita berhenti kat mana pula lepas ni?" Aku cuba mengalih topik perbualan kami.
"Maibara."
"Eki lepas ni..." Kataku selepas ternampak papan tanda tatkala kami sedang melepasi sebuah stesen. Sedikit gembira.
Kami tidak perlu menanti lama di Oogaki eki sebelum kembali masuk ke dalam perut keretapi. Dengan menaiki kaisoku densya (rapid train), perjalanan menjadi semakin lancar. Dalam masa tidak sampai setengah jam kami akan tiba di destinasi seterusnya - Maibara. Aku meneruskan pembacaan yang tergendala tadi. Tanpa menyedari ada mata yang sedang memerhati.
Salwa awal-awal lagi sudah terlena sebaik sahaja keretapi ini bertolak dari Maibara. Agaknya kepenatan berdiri terlalu lama tadi. Waktu musim cuti begini memang keretapi akan sentiasa penuh dengan penumpang yang bertali arus. Masyarakat Jepun mengambil peluang ini untuk pulang ke kampung menyambut Tahun Baru bersama kaum keluarga, ataupun pergi melancong.
Kegelapan malam perlahan-lahan melabuhkan tirainya. Aku cuba melelapkan mata. Gagal. Peristiwa tadi kembali menerpa fikiran.
"Buku apa yang awak baca tu?" Tanya Mukhriz sejurus kami selesai solat jama' maghrib dan isya' secara berjamaah di Maibara eki tadi.
Aku menunjukkan muka depan buku tersebut. Kemudian cepat-cepat berpaling pada Salwa. Aku bimbang dia akan curiga lagi dengan keramahan Mukhriz itu.
"So... apa komen awak tentang buku tu? Apa yang pengajaran awak dapat? Mungkin boleh kongsi dengan kami sementara tunggu densya seterusnya ni."
Aku menelan air liur. Mahu saja aku memberitahu dia, "Ini bukannya sesi POI, Encik Mukhriz. Awak tak boleh beri POI sesuka hati pada saya. Terutama sekali bila waktu saya tak sedia macam sekarang ni." Malangnya aku hanya menjadi orang paling berani di dalam dunia ciptaanku. Realiti sebenarnya aku cukup penakut dan tidak berani melakukan serangan balas itu.
"Saya baru baca sikit. Bukunya menarik..." Jawabku dengan suara yang tersekat-sekat.
Aku berhenti setakat di situ. Tidak mengulas panjang. Kenapalah dia suka sangat bertanya pada aku, gerutu aku dalam hati.
"Aik, takkan itu aja?" Bekas pendebat terbaik itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterimanya. Namun wajahnya masih tenang. Tiada reaksi marah.
Aku mengangguk perlahan.
"Boleh saya tahu berapa lama awak komited dengan usrah kita?"
"Dekat dua tahun..."
"Dua tahun... dua tahun diberi tarbiyah dan pendedahan tapi awak beri jawapan begitu pada saya. Ini perlu masuk dalam muhasabah LDT tahun ni. Ketua LDT tahun depan perlu pantau usrah akhawat juga." Ujar Mukhriz, separuh mengusik.
Aku langsung tersipu-sipu malu mendengar komen dan gurauan ketua Lajnah Dakwah dan Tarbiyah (LDT) itu. Dalam diam aku mengakui kebenaran itu, cara aku menjawab tadi tidak menunjukkan sejauh mana hasil tarbiyah yang aku jalani.
"Siapa naqibah awak?" Dia bertanya lagi.
"Kak Ainul..."
"Kak Ainul Mardhiah? Dia tak agihkan tugas pengisian pada anak usrah ke?"
"Ada."
"Habis tu... macam mana awak boleh jawab macam tu tadi?" Mukhriz jadi semakin agresif.
Aku membatu. Sempat mengerling pada Salwa yang menjadi pemerhati setia. Beralih kembali pada Syed Ahmad Mukhriz. Aku tahu sampai bila pun aku tak mampu menandingi dirinya. Mukhriz rajin mengulit buku-buku sirah sedangkan aku tidak.
Setiap kali tiba giliran memberi pengisian dalam usrah barulah aku terkecoh-kecoh membaca. Kebetulan aku diminta memberikan pengisian di bawah hijrah dan implikasinya. Jadi barulah aku tahu dari mana datangnya kisah Suraqah Bin Malik yang dijanjikan Rasulullah gelang raja Parsi, yang Mukhriz pernah ceritakan sedikit masa dahulu.
Mukhriz menerangkan bagaimana keajaiban yang berlaku semasa Suraqah cuba mengejar Rasulullah dan Abu Bakar. Salah satunya, kaki hadapan kuda Suraqah terbenam di dalam pasir sehingga paras lutut setiap kali dia cuba menghampiri nabi. Lancar lidah Mukhriz menyebut nama para sahabat (yang aku tidak pernah dengar), nama tempat berserta tarikh sesuatu peristiwa. Seolah-olah telah dihafalnya seluruh buku tersebut. Dalam soal itu, aku ketinggalan terlalu jauh di belakang.
"Khadijah..."
Perasaan aku bergetar. Cara dia memang sama seperti papa. Setiap kali papa ingin menasihatiku, dia juga akan mulakan dengan menyebut namaku.
"Saidatina Khadijah binti Khuwailid adalah manusia pertama yang menyahut seruan iman dan islam, saidatina Aisyah jadi gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Nusaibah binti Ka'ab bermatian-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir pula orang pertama mendapat gelaran syahid. Mereka semua ini adalah muslimah... wanita seperti awak. Menjadi bukti yang jelas bahawa peranan wanita adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar menguruskan rumahtangga. Sejarah telah menyaksikan penglibatan muslimat dalam gerakan dakwah dan ia memang tak dapat dinafikan lagi."
"Maknanya Islam tidak sama sekali membezakan antara lelaki dan perempuan dari segi tanggungjawab di atas muka bumi. Jadi, setelah kita berusaha membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu mestilah berusaha untuk menyeru ke arah pelaksanaan cita-cita iman dan islam ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam realiti. Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai dakwah." Terangnya dengan panjang lebar.
Aku semakin berdebar-debar menanti kalimat yang seterusnya. "Dakwah dimulai dari lahirnya sekelompok orang yang sedar dan insaf, serta yakin akan tugas mereka, disamping iman yang tebal kepada Allah SWT. Sedar ataupun tidak, awak sebenarnya berada dalam kelompok itu. Awak sudah punya kesedaran dan keinsafan. Yang kita telah latih di bawah sistem tarbiyah supaya bersedia menjadi seorang da'ieah (pendakwah). Cuma dari segi keyakinan, nampaknya awak masih kurang lagi..."
Aku terkebil-kebil mendengar kuliah percuma yang panjang lebar itu. Kesilapan yang nampak sahaja kecil diulasnya panjang berjela-jela. Memang benarlah Mukhriz dilatih menjadi seorang pengkritik yang hebat!
"Cuba sekali lagi. Saya tahu dan yakin awak boleh lakukan lebih baik daripada tadi. Jangan hampakan keyakinan saya tu, Khadijah..."
Kalimat terakhir itu terus berlegar-legar di kotak fikiran. "Jangan hampakan keyakinan saya tu, Khadijah..." Aku menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba membakar semangat diri.
"Saya tertarik dengan kata-kata ni - seseorang muslim hidup di antara dua solat, iaitu solat subuh dan isya'. Maknanya seorang muslim memulakan setiap hari di dalam hidupnya dengan solat dan diakhiri dengan solat. Dengan silih bergantinya masa, seorang muslim juga berulang kali dapat berada di samping Allah..." Begitulah aku mengakhiri ucapanku, tentunya lebih panjang daripada kali pertama tadi.
"Macam tulah. Tahniah! Satu permulaan yang cukup baik..." Puji Mukhriz.
Aku beristighfar beberapa kali. Bimbang pujian itu buat aku terleka. Mukhriz menjarakkan ruang antara kami, membiarkan aku dan Salwa bersendirian.
"Amboi, seronoknya dia tengok abang Mukhriz marahkan akak." Kata aku lalu menyucuk perut Salwa yang tersengih seperti kerang busuk. Dia mengaduh kecil.
"Abang Mukhriz tak marah, dia cuma nasihat." Celah lelaki itu.
Memasang telinga lagi rupanya si dia. Menyibuk sungguh!
Hingga ke saat ini wajahku masih tidak hilang rasa hangatnya. Aku jadi malu sungguh mengenangkan peristiwa itu. Kesyukuran dipanjat ke hadrat Ilahi. Kini aku benar-benarkan yakin, Allah tidak 'mencipta masa ini' dengan sia-sia.
Rujukan:
Detik-Detik Masa | Fiqh Al-Harakah |
Sabar