BAB 3
"Sebab-sebab macam nilah yang buat Syah tak suka sejarah dengan biologi! Kenapalah tiba-tiba ada saudara macam tu?"
Selain
tidak menggemari subjek Biologi, dia juga tidak menyukai mata pelajaran
Sejarah. Syah, Syah... Apalah nak dikaitkan dia sebagai keturunan
Minangkabau dari Pagar Ruyung dengan peperiksaan SPM yang
bertahun-tahun dulu? Dia mengiringi pemergian Teuku Adi Iskandar dengan
jelingan tajam. Amboi, garangnya!
"Dahlah tu. Hari ni kan majlis
perkahwinan kita. Tak elok marah-marah. Nanti nampak tak cantik bila
muka masam macam tu. " Aku terus memujuknya. Sebenarnya sudah
setahun lebih aku menyimpan rahsia keturunannya itu daripada
pengetahuan Akasyah. Sebagai orang Sains (kononnya), Akasyah tidak
ambil pusing sangat dengan cerita-cerita sejarah begini. Bagi dia dan
ibunya (seorang guru sains suatu masa dahulu), subjek sejarah tidak
lebih daripada sebuah lipatan kisah masa lalu.
Riak wajahnya
sudah semakin lembut. Dia berfikir sejenak, merenung dalam ke wajahku
sebelum berkata-kata semula. "Oh, kiranya jadi puteri-puteri kerabat
dirajalah ni? Wah, syoknya!"
Wah, cepatnya berubah fikiran! bisik hati kecilku.
"Iya, puteri yang beraja di hati abang!" balasku, cuba berjenaka. Dia terus mencebikkan bibir serta-merta.
"Kalau jadi puteri ni... ada harta pusaka?"
"Amboi, mata duitannya! Materialistik!"
"Habis
tu, Teuku Adi Iskandar tu tiba-tiba datang mengaku saudara. Dah tiba
masa nak buat pembahagian hartakah?" Akasyah sudah tersenyum-senyum.
Dia seperti sedang membayangkan bakal mendapat sebuah istana
atau gudang yang dipenuhi dengan harta karun. Padahal kerajaan Ragar
Ruyung sudah lama tamat.
"Dia datang bawa hajat. Mahu cari
saudaranya yang hilang..." Jelasku sedikit kuat. Suaraku terus
ditenggelamkan oleh azan Zohor yang berkumandang.
"Apa dia?"
"Nantilah abang cerita..."
Dia
membalas dengan senyuman. Tangannya kucapai dan dipegang erat. Dia,
isteriku, keturunan ketujuh Wan Empuk Wan Malini dari tanah Palembang.
Pertama kali mengetahuinya, aku seperti masuk semula ke zaman Mahsuri
dan penemuan keturunan ketujuhnya, Wan Aishah Wan Nawawi. Aku selalu
ingat Akasyah hanya orang biasa-biasa sahaja. Dan hari ini menjadi
saksi bersejarah, seorang berketurunan bangsawan Belanda dijodohkan
dengan seorang berketurunan puteri istana Pagar Ruyung.
"Kami balik dulu, Syah." Wawa dan Ain merapati Akasyah.
Aku
menjarakkan diri, memberikan sedikit ruang untuk mereka bermesra.
Sungguh ironi, aku bertemu dengan adik-beradik kembar itu dalam majlis
perkahwinan ini. Wajah Ain yang ditutup hijab langsung tidak aku
pandang. Meskipun matanya yang terpamer itupun tidak mahu aku lihat.
Dia sudah jadi milik orang, Dr. Hanif iaitu pilihan hatinya. Dan aku
sekadar seseorang dari kenangan masa lalu yang tidak perlu dikenang
lagi. Yang pasti kini masa depan aku bersama-sama gadis yang bernama
Nurul Akasyah.
Hidup ini sesungguhnya telah ditentukan Tuhan!
* * *Hari ini genap
sebulan aku menjadi suami kepada kekasih hatiku. Alhamdulillah, kami
selamat tiba dari Tanah Suci seminggu yang lalu. Pergi menunaikan
umrah, seperti janji yang pernah aku berikan padanya dulu. Di sana aku
berdoa bermacam-macam, meminta keberkatan dan kesejahteraan rumahtangga
yang baru kami bina. Juga memohon keampunan kepada Tuhan di atas
kesilapan dan kelalaian kami yang terdahulu. Iyalah, waktu bercinta
kadangkala kita sering terlupa dan tanpa disedari melanggar batas
pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang telah digariskan oleh
agama.
"Ya Allah, aku dan Akasyah bukanlah pasangan yang
paling sempurna di dunia. Kau pasti lebih mengetahuinya. Meskipun kami
cuba menjaga diri sebaik mungkin dan saling ingat-mengingati di antara
satu sama lain sebelum pernikahan ini, tapi mungkin belum lagi menepati
kehendak syariat-Mu. Maka ampunkanlah dosa kami kerana kami menzalimi
diri kami. Tunjukkanlah jalan yang lurus, jalan yang diredhai-Mu."
"Penghijrahan
kita dulu tak semudah yang disangka kerana godaan syaitan sangat luar
biasa." Kataku dalam perjalanan pulang dari Masjidil Haram.
"Ya,
sebab kita hanya golongan biasa-biasa. Bukan seperti orang jurusan
agama yang dah lama terdedah dengan segala ilmu agama. Kita sekadar
orang teknikal yang cuba menjadi pemburu cinta Ilahi, dalam keadaan
serba kekurangan". Ujar Akasyah sambil merendah diri.
"Tak apa,
kita sama-sama belajar ke arah itu. Hijrah..." Aku tersenyum padanya.
"Janganlah cepat mengalah, sayang! Abang akan sentiasa
bersama-sama Syah."
Aku memeluk bahunya, berkongsi sedikit kekuatan.Aku
tahu dia seringkali dipandang rendah oleh orang jurusan agama yang
memperlekehkan usahanya untuk berusaha menjadi baik. Hanya segelintir
sahaja yang mahu menghulurkan pertolongan, dan selebihnya lebih gemar
menjadi pengkritik seolah-olah mereka paling hebat di dunia.
Kadang-kadang
rasa lucu juga memikirkan jodohku berakhir dengan teman sekolahku itu.
Nurul Akasyah... dalam ramai gadis yang kutemui, rupanya dia sahaja
yang berbekas di hati. Sedangkan memang tidak pernah terlintas pun
semua ini akan terjadi. Jelaslah segala ketetapan hidup berada di
tangan Tuhan Yang Maha Esa dan manusia hanya mampu merancang. Takdir
menentukan kami akan melayar bahtera perkahwinan ini bersama-sama. Aku
rela dengan ketentuan ini.
Walaupun suatu ketika
dahulu aku hampir sahaja mahu bertunang dengan Nur Jannatul Adnain,
namun begitu lelaki lain melamar dia terlebih dahulu. Sedih memang
sedih. Mujur waktu itu perasaan cinta sahaja ingin bertunas, kalau
tidak mungkin sukar juga dengan menerima kehadiran cinta yang
baru. Kemudian mama melobi adik kembar seiras kepada Nur Jannatul
Adnain iaitu Nur Jannatul Ma'wa sebagai calon isteri solehah, tetapi
aku pula yang menolak. Bukannya sebab dia tidak memenuhi kriteria
pilihan hati, cuma waktu itu aku belum bersedia menerima dia dalam
hidup aku. Terikat pada situasi yang menghendakkan aku menepikan soal
hati dan perasaan.
Aku melirik pada Akasyah yang sedang menguap
untuk kali ke berapa. Matanya makin mengecil dari semasa ke semasa.
Sambil mencuci pinggan, sempat dia menyanyi kecil. Tidak pasti lagu
apa. Yang kulihat dari tadi mulutnya itu asyik berkumat-kamit. Berzikir
agaknya, aku cuba fikir yang baik-baik tentang dia. Sejak menjadi suami
kepada Nurul Akasyah, aku mempunyai satu hobi baru - memerhatikan
tingkah lakunya dari jauh. Dalam satu minit aku boleh lihat seribu satu
jenis mimik muka dari dia. Memang mencuit hati.
"Pergilah naik
tidur. Nampak mengantuk sangat tu." Kataku sambil menutup perlahan peti
sejuk dua pintu warna biru tua yang mengisi ruang dapur rumah kami ini.
Menyimpan baki lauk makan malam sebentar tadi.
"Sungguh?" Soalnya seperti teragak-agak dengan cadanganku.
Mana
pernah dia tidur dahulu tanpa aku. Segala perkara di dalam rumah ini
kami akan lakukan bersama-sama. Dan biasanya aku akan bacakan kisah
sirah ringkas kepadanya sebelum tidur. Akasyah suka benar mendengarnya.
Malam ini terpaksa diberi pengecualian. Aku mengangguk, memberi izin.
Kasihan pula melihat dia yang sudah tidak bermaya. Nampaknya aku akan
keseorangan malam ini.
"Ada kerja perlu beres malam ni?"
Dia menggeleng lalu mengambil tempat di sisiku.
"Aduh...
dah lembik sangat ni." Usikku apabila dia melentokkan kepalanya ke
bahuku. Jarang dia mahu bermanja denganku selagi tidak dipinta. "Ini
mesti nak suruh dukung sampai atas katil..."
Belum sempat aku
menghabiskan kata-kata, sepantas kilat dia menjauhkan dirinya daripada
aku dengan wajah tersipu-sipu malunya itu. Aku pura-pura mendekatinya
dan beraksi seperti mahu mencempungnya. Cepat-cepat Akasyah berlari ke
arah lain. Syah, Syah... sampai sekarang masih mahu malu-malu. Macamlah
aku ini orang lain sahaja.
"Tak apalah. Larat lagi jalan
sendiri. Oyasumi..." Katanya lalu mengucup kedua-dua belah pipiku.
Tiba-tiba sahaja dia jadi segar-bugar dan kuat. Walhal tadi sudah lemah
satu macam. Dia berlari-lari anak menuju tangga untuk ke kamar utama di
tingkat atas. Sempat dia menoleh lalu berkata...
"Adam, nanti..."
"Adam??" Aku menjegilkan mata sebesar-besarnya.
"Oppss!!" Dia terus menekup mulut.
"Maksud
Syah... sayang... abang," Ucapnya dalam kekalutan. Mungkin bersalah
kerana selalu sangat terbabas memanggil aku dengan nama "Adam" ataupun
"Kaduk", walaupun sudah berkali-kali diingatkan.
Susah agaknya dia nak biasakan diri. Habis semuanya terkeluar. Aku sudah mahu ketawa. Pura-pura berwajah serius.
"Nanti tolong gerakkan bangun tahajud macam biasa."
Aku diam, tidak membalas.
"Jangan lupa ya, sayang." Katanya lagi dengan menekankan perkataan sayang. Cuba menutup kesalahannya tadi.
"Pernahkah
sayang lupa selama ni?" Soal aku lembut. "Kalau goncang tak
bangun-bangun, boleh terus jirus dengan air aja kan." Kataku lagi
sambil mengenyitkan mata.
Dia ketawa. Aku suka lihat wajahnya
dalam keadaan gembira begitu. Matanya bersinar-sinar
seperti disimbah cahaya. Tanpa membalas kata-kataku, dia meminta diri
ke tingkat atas. Aku tersenyum sendiri memikirkan isteriku yang
malu-malu kucing itu. Syah, Syah... sampai bila agaknya mahu main
lari-lari dengan aku. Baru hendak tunjukkan sedikit rasa kasih sayang,
dia pula tak mahu dan segan bukan main.
Ah! Sunyi betul, getus hati kecilku.
Sejak
bertukar status ini, aku pantang sahaja keseorangan. Mulalah kesunyian
mencengkam diri. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja berkepit
dengan Akasyah dua puluh empat jam. Lagak seperti pasangan baru
mengenal cinta. Ya lah, kami bercinta selepas berkahwin. Semasa
bertunang dahulu pun, kami sama-sama telah berjanji untuk menjaga batas
pergaulan. Aku sendiri berusaha sedaya upaya menahan diri daripada
ditarik-tarik supaya mendekati gadis pujaan hatiku itu. Kadangkala rasa
bersalah juga memikirkan tindakan aku menjauhkan diri daripadanya
dahulu.
Aku beralih ke ruang rehat. Televisyen dipasang. Aku
melabuhkan punggung di atas sofa warna hijau serai. Aku baru sahaja
hendak mengajaknya dia temankan aku menonton televisyen bersama-sama.
Melihat perkembangan yang berlaku di dalam dan luar negeri. Alih-alih
dia mahu beradu pula. Tak apalah. Dia kan penat mahu berehat. Aku
memerhatikan langkah longlai Akasyah memanjat tangga ke kamar utama di
tingkat atas, tidak sampai hati pula mahu menahannya.
Lagi-lagi
berita tentang penindasan umat Islam dipaparkan. Aku jadi hiba. Islam
yang bermula dari keadaan asing dan kembali menjadi terasing. Benarlah
seperti yang diriwayatkan dalam satu hadis.
Dari Tsauban r.a,
katanya Rasulullah saw pernah bersabda: "Hampir tiba satu masa di mana
bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan
orang-orang yang mengerumuni hidangan." Lalu sahabat bertanya, "Apakah
ketika itu bilangan kami kecil, ya Rasulullah?" Jawab Rasullah saw,
"Tidak. Bahkan ketika itu bilangan kamu ramai namun cuma umpama
buih-buih di lautan. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu
dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan penyakit
wahn ke dalam hati-hati kamu." Lalu sahabat bertanya, "Apakah penyakit
wahn itu wahai Rasulullah." Kata Rasulullah saw, "Iaitu cintakan dunia
dan takut mati."
Ya Allah... memang benar musuh-musuh Islam
telah dicabut darinya rasa hormat pada pengikut Muhammad saw ini.
Saudara seagama kami diperlakukan seperti binatang. Dibunuh sesuka
hati. Segala tragedi yang menimpa sekarang mungkin atas sebab kita
sendiri sudah terpesong jauh dari pegangan Islam. Islam hanya tinggal
nama. Ya Allah, mungkinkah Kau sedang menghancurkan mereka yang tidak
cinta padaMu?
Sepertimana yang terlaku pada kaum-kaum yang
terdahulu, Allah menghapuskan kaum yang engkar pada muka bumi ini
seperti dalam firmannya: "Wahai orang-orang beriman, sesiapa di antara
kamu yang berpaling dari agamanya, maka kelak Allah mendatangkan suatu
kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang
bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras
terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang pada jalan Allah, dan
mereka tidak takut kepada celaan orang-orang yang mencela, yang
demikian itu adalah limpah kurnia Allah diberikanNya kepada sesiapa
sahaja yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha
Mengetahui." (al-Maidah:54)
Nauzubillah... moga-moga aku dan
kaum keluargaku dijauhkan dari fitnah akhir zaman ini dan termasuk
dalam golongan mereka yang berpegang teguh pada Deen-Mu. Amin ya rabb.
Warta
berita tiga puluh minit berakhir sudah. Aku mematikan siarannya. Tiada
apa lagi yang ingin ditonton. Lagipun terlalu banyak hiburan yang
dipaparkan sehinggakan aku naik risau mengenangkan nasib anak-anak aku
nanti. Dalam ledakan hiburan tanpa sempadan ini, suatu cabaran besar
bagi ibu bapa mahu mendidik anak-anak supaya menjadi soleh dan solehah.
Dugaan dan godaan dari luar terlalu kuat.
Langkah diatur ke
kamar utama. Aku membelai ubun-ubun isteriku yang sedang nyenyak tidur.
Penat sangat agaknya. Aku memerhatikan nafasnya yang teratur. Susah
juga rupanya kalau berkahwin dengan kawan baik kita sendiri. Kadangkala
aku terpaksa menyuruh Syah bermanja-manja dengan diriku. Dia tu,
malunya bukan main. Tetapi kesalahan tidak patut disandarkan pada dia
semata-mata kerana aku juga memainkan peranan besar dalam mengusik
setiap kali dia cuba memanjakan dirinya padaku.
Mataku tidak
lepas memerhatikan wajahnya yang kelihatan comel seperti seorang bayi.
Dia tersenyum tiba-tiba. Mimpikan aku agaknya.
Aku menarik nafas
panjang. Akasyah, tak sampai satu jam aku sudah rindukan dia. Cepatlah
hari siang. Abang rindukan gelak tawamu, sayang!
Bunyi mesej
masuk ke telefon bimbit mengejutkan aku. Telefon yang berada di meja
sisi katil dicapai lalu mesej dibuka dan dibaca.
Salam Mas Adam. Selamat malam.
Selamat tiba dari Tanah Suci. Moga kalian berdua sihat hendaknya.
Sepurnama sudah berlalu, saya dan bunda kepingin ketemu sama isteri kamu.
Sampai kapan harus saya menanti? Mohon disegerakan pertemuan kita.
Mas Adi
Mas
Adi atau lebih dikenali sebagai Teuku Adi Iskandar ini merupakan
seorang graduan jurusan multimedia. Kini baru sahaja berkerja sebagai
perunding pengiklanan di Malaysia. Pertemuan kami bermula di
Tokyo tahun lalu diaturkan oleh Anding, teman sekuliah Akasyah di
Universiti Tokyo. Pertemuan yang sama sekali tidak diketahui oleh
Akasyah, berlangsung di pangsapuri kediaman pekerja Petronas di
Sakuragichou.
"Tolong temukan saya dengan dia, Mas Adam."
"Dia
lagi sibuk kuliah. Saya tidak mahu kuliahnya terganggu. Dia juga
sedang sibuk menyiapkan tesis sarjananya waktu ini. Harap kamu
mengerti..."
"Sepatutnya aku langsung ketemu dia. Ternyata kamu ini
terlalu 'overprotective' orangnya..." Teuku Adi Iskandar merengus
marah, tidak berpuas hati dengan tindakanku barangkali.
"Harap Teuku
dapat tunggu sehingga kami selesai bernikah dan pulang dari umrah.
Mungkin akhir Mei atau awal Jun tahun hadapan..."
"Baiklah, saya pegang pada kata-kata kamu..."
Janji harus ditepati, bisik hati kecilku. Jari terus menaip mesej balas.
Salam Mas Adi.
Insya-Allah, kita akan bertemu lewat hujung minggu ini.
C.Duke AdamTelefon
diletakkan semula pada tempatnya. Tangan mencapai pula naskah sastera
lama "Sejarah Melayu" yang diusahakan oleh W.G.Shellabear. Terima kasih
kepada sepupuku, Farah Syuhada kerana sudi 'menculik' buku ini dari
perpustakaan papanya. Memandangkan kali terakhir aku membaca prosa
Melayu untuk peperiksaan SPM, iaitu lebih kurang sembilan tahun yang
lalu, jadi proses pembacaanku sangat perlahan mengalahkan siput
mengesot. Dengan cerita yang bercampur mitos dan fakta ini, menyukarkan
otak teknikalku untuk menghadamnya.
Akasyah juga terus jadi kagum melihat aku membacanya. Bila aku
cadangkan kepadanya supaya turut membacanya dengan harapan dia dapat
memahami salasilah keturunannya, dia terus angkat bendera putih
mengalah.
"Pertama kali Syah nampak buku Sejarah Melayu ni.
Ni yang Tun Seri Lanang tulis, kan? Abang tolong baca bagi pihak Syah,"
katanya, lalu terus membaca buku "Reaching For The Stars" dengan penuh
khusyuk sekali.
Aku jadi curiga dan cemburu dalam masa yang sama
kerana matanya ralit menatap wajah kacak angkasawan negara yang bakal
berkahwin itu. Ditambah pula sejak bertemu mata dengan sang angkasawan
itu, dia tidak berhenti bercerita dan memuji kelebihan lelaki itu tanpa
memikirkan perasaan lelaki ini - aku - yang menjadi suaminya.
"Gambar dia yang ini tak ubah macam muka abang, kan? Kalau ditengok sekali imbas..."
"Hmmm..." Aku juga hanya pandang sekali imbas.
"Ada
orang sedang cemburu, rupanya. Patutlah rasa berbahang sekarang ni..."
Dia terus ketawa. "Doktor ni orang Negeri Sembilan. Minangkabau juga,
agaknya. Sama dengan Syah. Syoknya!" Tambahnya lagi, sengaja mahu
menyemarakkan api cemburuku.
Sebagai balasannya, aku telah
sorokkan buku yang telah ditandatangani sendiri oleh si angkasawan,
yang diserahkan khas waktu lawatannya ke ibu pejabat sistem kawalan,
Pusat Angkasa Negara; tempat di mana Akasyah berkerja. Sehingga kini
buku itu tidak dijumpainya. Aku cuma ketawa dalam hati bila Akasyah
tercari-cari buku tersebut. Mereka sudah saling mengenali antara satu
sama lain - si jurutera sistem kawalan (satelit) dan si angkasawan
negara. Manalah aku tidak diburu rasa cemburu tidak bertepi. Aku
berharap sangat doktor itu cepat-cepat berumahtangga. Amin!
Berbalik
pada Sejarah Melayu, malam ini akan diteruskan dengan "Alkisah Cetera
yang Kedua". Harap dapat mengurai teka-teki kehilangan saudara Teuku
Adi Iskandar. Ceritanya bermula begini:
Kata sahibul
hikayat, ada sebuah negeri di tanah Andelas, Palembang namanya, Demang
Lebar Daun nama rajanya, asalnya daripada anak cucu Raja Suran, Muara
Tatang nama sungainya. Adapun Negeri Palembang itu, Palembang yang ada
sekarang inilah. Maka di hulu Muara Tatang itu ada sebuah sungai,
Melayu namanya. Di dalam sungai itu ada satu bukit yang bernama Bukit
Siguntang, di hulunya Gunung Mahameru, di daratnya ada satu padang
Penjaringan. Maka ada dua orang perempuan berladang, Wan Empuk seorang
namanya, dan Wan Malini seorang namanya; dan keduanya itu berhuma di
Bukit Siguntang itu terlalu luas humanya itu, syahdan terlalu jadi
padinya, tiada dapat terkatakan; telah hampirlah masak padi itu...
Bacaanku terhenti tatkala mendengar Syah di sebelah mengigau, asyik memanggil-manggil nama seseorang berkali-kali.
"Arham... Arham..."
"Syah, bangun..." Aku segera mengejutnya.
Dia menggosokkan matanya. "Syah mimpi anak kita..." Tuturnya lambat-lambat.
"Anak?"
"Ya, dia comel sangat. Anak lelaki..."
"Mimpi sekadar mainan tidur, sayang. Tidur baca doa tak?"
"Baca. Kenapa abang tak tidur lagi? Nanti macam mana nak bangun malam?" Soalnya pula bertubi-tubi.
"Nak tidurlah ni..." Naskah Sejarah Melayu diletak ke tepi. Kepala mula menyentuh bantal.
"Syah
nampak abang dukung anak kita di depan Kaabah. Dia beritahu namanya
Arham. Carl Duke Arham bin Carl Duke Adam. Dah dua kali Syah mimpi
benda yang sama. Kali pertama waktu kita buat umrah dulu..." Bisik
Akasyah, sebelum terlena semula.
Sebelum melelapkan mata aku segera berdoa dalam hati, moga mimpi yang baik itu jadi realiti. Amin.
* * *Sebagai perunding
pengiklanan, Teuku Adi nyata punya citarasa yang tinggi. Sesuai dengan
kedudukannya, barangkali. Akasyah menyukai susun atur rumah dua tinggi
milik Teuku Adi.
Dia sempat berbisik kepadaku," Rumah kita nanti macam ini ya?"
Aku
seperti biasa sekadar mengangguk, melayan impiannya seperti selalu.
Impian kami berdua sebenarnya untuk memiliki rumah sendiri. Buat
sementara ini, aku masih menyewa ruang kondo di pinggir kota,
berhampiran dengan tempat kerjaku di bangunan berkembar Petronas, KLCC.
Memikirkan Akasyah terpaksa berulang-alik setiap hari ke Pusat Angkasa
Negara yang terletak di Banting, membuatkan aku berfikir untuk
berpindah dan mencari rumah sendiri. Kasihan dia!
"Sofea!
Akhirnya kau pulang jua, anakku." Bunda Teuku Adi menjerit kecil dan
segera mendakap Akasyah. Linangan air mata mengalir ke pipinya. Akasyah
terpinga-pinga seketika.
Teuku Adi segera menarik ibunya ke
tepi, lalu membisikkan sesuatu. Rupa-rupanya dia baru hendak
menjelaskan tentang kewujudan Akasyah kepada bundanya. Sambil mengesat
air mata, Bunda Teuku Adi meminta diri ke dapur sebentar. Kami bergerak
ke ruang tamu rumah tersebut.
"Cantik rumahnya..." Puji Akasyah sambil memerhati sekeliling.
"Terima kasih. Telefon saja saya jika mahu datang ke sini..."
"Insya-Allah. Dengan suami saya, pastinya..."
"Pasti,
dong. Perlu minta izin dulu sama suami kamu yang berbangsa Belanda itu,
kan?" Ujar Teuku Adi Iskandar dengan nada menyindir.
"Teuku seperti tidak senang dengan suami saya. Kenapa?"
"Mengapa?
Dan mengapa pula kamu masih memilih keturunan bangsa penjajah ini
menjadi suamimu, asalnya dari orang Belanda yang suatu masa dulu cuba
menghapuskan keturunan Raja Minangkabau? Sampaikan nenek moyang kamu
terpaksa lari ke Tanah Melayu untuk menyelamatkan diri! Tapi
senang-senang saja kamu bernikah sama orang Belanda." Sambungnya lagi,
sinis sekali.
Aku sedikit terkejut dengan kenyataan itu.
Namun aku harus tampak tenang sahaja, membiarkan Teuku Adi Iskandar
terus-menerus mengutuk dan melepaskan amarahnya.
"Dan kamu cuba
lihat akhbar hari ini. Nah, terang-terangan bangsa dia menghina ugama
kita!" Teuku Adi Iskandar sengaja meletakkan akhabar Utusan Malaysia
yang dipegangnya di atas meja kaca di hadapan kami. Berita tentang
filem Fitna dari Belanda itu memang mencabar umat Islam seluruhnya. Dan
tindakan Teuku Adi Iskandar benar-benar menaikkan kemarahan kami.
Akasyah sudah mengetap bibirnya, ingin bersuara. Tetapi aku menahan,
tangannya aku pegang erat-erat.
"Teuku, sememangnya datuk nenek
moyang saya dahulu pernah menjajah negara Teuku. Tapi haruskah saya
dipersalahkan di atas kesalahan mereka? Teuku menjatuhkan hukuman di
atas kesalahan yang tidak pernah saya lakukan. Haruskah saya dihina
semata-mata kekhilafan orang yang terdahulu, yang berlaku sebelum saya
dilahirkan ke dunia ini?" Tenang sekali aku berbicara.
"Kami ini
datang dengan ikhlas, ingin membantu Teuku mencari saudara Teuku yang
hilang. Bukannya bersengketa di atas cerita lama." Sambung Akasyah pula
dalam bahasa yang paling manis, cuba menjernihkan keadaan.
Bunda
Teuku Adi datang bersama-sama pembantu rumah menghidangkan minum
petang. Mujur kehadirannya itu dapat mengendurkan suasana tegang
sebentar tadi.
"Dipersilakan minum..." Pelawanya. Matanya tidak lepas-lepas memandang Akasyah.
"Barangkali
kamu tidak mengetahui isterimu ini bukan orang kebanyakan. Dia, Nurul
Akasyah Othman, keturunan ke-7 Wan Empok Wan Malini... dan juga
keturunan orang Muntah Lembu." Teuku Adi Iskandar terus menukar topik
perbualan kami.
"Wan Empok Wan Malini? Orang Muntah Lembu? Saya
tak faham apa yang Teuku katakan ini. Teuku, saya ini orang biasa saja.
Orang Melayu Perak. Barangkali Teuku sudah tersalah orang ini..." Ujar
Akasyah sedikit kuat.
"Abang, Teuku dari Palembang ini sudah
mula merapu. Cakap yang bukan-bukan. Jom kita balik!" Bisik Akasyah ke
telingaku. Aku cepat-cepat menggelengkan kepala tanda tidak setuju.
Masalah Teuku Adi perlu diselesaikan dengan segera.
"Di mana asal kamu, Akasyah? Maksud saya, kampung halaman kamu..."
"Kampung Gajah, Perak."
"Di tepi Sungai Perak, bukan?"
"Ya. Jadi?"
"Keluarga kamu nggak pernah bercerita tentang asal-usul keturunan kamu."
"Nggak pernah..."
"Pasti?"
"Oh
ya! Baru-baru ini, sebelum hari pernikahan saya, opah... maksud saya
nenek... memberitahu... kami ini asalnya orang Minangkabau dari
Indonesia, kononnya berketurunan kerabat diraja. Tapi saya tak
percaya..."
"Dan sekarang, kalau saya bilang... kamu itu sememangnya berasal dari keturunan puteri-puteri Istana Pagar Ruyung. Bagaimana?"
Akasyah segera menggeleng. "Mustahil! Tak mungkin!"
"Saya percaya, suami kamu lebih mengetahui asal-usul kamu...daripada diri kamu sendiri."
"Suami saya?"
"Percaya,
deh. Dia sudah mengetahuinya sejak dari awalan lagi. Betul nggak
kata-kata saya ini, Van Karel Hertog? Keturunan bangsawan dari Belanda.
Nenek moyangnya pernah datang ke Indonesia..." Teuku Adi Iskandar
merenung tajam ke arah suamiku. Seribu kebencian terpancar dari matanya.
"Kamu
berketurunan bangsawan dari Belanda? Apa benar begitu, Adam?" Sampuk
bunda Teuku Adi Iskandar yang menyepikan diri tadi. Sedikit terkejut.
"Tepat sekali..." Balasku tenang.
"Ya Tuhan..." Lalu Bunda Teuku Adi Iskandar terus mengucap panjang.
"Datuk
neneknya dahulu pernah terlibat dalam Perang Padri di Sumatera Barat.
Penyebab Perang Paderi adalah perselisihan antara Kaum Padri (alim
ulama) dengan Kaum Adat (orang adat) yang mempermasalahkan soal agama
Islam, ajaran-ajaran agama, mabuk-mabukan, judi,
maternalisme dan
paternalisme.
Saat inilah Belanda masuk dan mencoba mengambil kesempatan. Namun pada
akhirnya Belanda harus melawan baik kaum adat dan kaum paderi, yang
belakangan bersatu." Cerita Teuku Adi dengan panjang lebar.
"Ya
benar. Papa pernah bercerita tentang Perang Paderi yang meletus di
Minangkabau antara sejak tahun 1821 hingga 1837. Kaum Paderi dipimpin
Tuanku Imam Bonjol melawan penjajah Hindia Belanda." Sambungku.
"Dan
untuk menghadapi Perang Diponegoro, Belanda terpaksa menarik pasukan
yang dipakai perang di Sumatera Barat untuk menghadapi Pangeran
Diponegoro yang bergerila dengan gigih. Sebuah gencatan senjata
disepakati pada tahun 1825, dan sebahagian besar pasukan dari Sumatera
Barat dialihkan ke Jawa. Namun, setelah Perang Diponegoro berakhir pada
tahun 1830, kertas perjanjian gencatan senjata itu disobek, dan
terjadilah Perang Padri babak kedua. Pada tahun 1837 pemimpin Perang
Paderi, Tuanku Imam Bonjol akhirnya menyerah. Berakhirlah Perang
Padri." Tutur Teuku Adi dengan lancar sekali.
Oh ya, Perang
Diponegoro juga dikenali Perang Jawa, adalah perang besar dan
menyeluruh berlangsung selama lima tahun, dari 1825 hingga 1830, yang
terjadi di Jawa, antara pasukan penjajah Belanda di bawah pimpinan
Jendral De Kock melawan penduduk pribumi yang dipimpin seorang pangeran
Yogyakarta bernama Pangeran Diponegoro.
Kisah sejarah peperangan
orang Belanda di Indonesia sememangnya telah diperturunkan dari satu
generasi ke satu generasi. Aku mengetahuinya daripada papa sendiri.
Namun Akasyah terus terkebil-kebil, tidak pernah tahu tentang bagaimana
keturunan Minangkabau cuba dihapuskan suatu ketika dahulu. Apatah lagi
dia hanya mengetahui nenek moyangnya datang dari Palembang, Indonesia
baru-baru ini.
"Maaf ya, saya tak tahu apa yang kalian bincangkan. Perang Padri, perang Dipo...Dipo..." Celah Akasyah, kebingungan.
"Diponegoro. Perang Jawa." Sambungku.
"Ya, perang yang itu. Kita terus saja pada tujuan asal Teuku memanggil saya datang ke mari. Boleh?" Usul Akasyah cepat-cepat.
"Baiklah.
Saya ingin bertemu kamu kerna ingin mencari dia..." Teuku Adi Iskandar
menyorong sekeping gambar kepada Akasyah. "Cut Sofea Malinie Teuku
Johan. Tunangan saya. Wajahnya persis wajah kamu, Mbak Akasyah. Dia
sudah menghilangkan diri sejak sembilan tahun yang lalu..."
Akasyah meneliti foto tersebut.
"Kalau
hilang, laporkan saja pada polis. Bukan ikut saya ke sana ke mari,"
balas Akasyah, masih geram diekori Teuku Adi suatu masa dulu.
"Sudah
dilaporkan sama polisi, tapi masih belum ditemui sampai saat ini. Kami
semua sudah putus harapan. Dilarikan orang barangkali..." Jawab Bunda
Teuku Adi.
"Dilarikan orang?" Akasyah berkerut dahi.
"Iya, kali
terakhir orang mengatakan dia kelihatan bersama-sama teman sekuliahnya,
seorang lelaki keturunan Belanda..." Bunda terus memandang wajahku,
seolah-olah aku pula yang melarikan Sofea.
"Dan selepas itu dia terus hilang..." sambung Teuku Adi.
"Meskipun kami seiras, tapi apa kaitannya dengan saya? Saya langsung tidak mengenali dia..."
"Sebelum
bapa saya meninggal dunia bermimpi tentang kamu. Bapa saya menceritakan
tentang kewujudan kamu. Katanya, cari kamu di Jepang. Keturunan Wan
Empuk Wan Malini berada di Jepang. Lalu secara kebetulan saya menjumpai
foto kamu di dalam akhbar. Bapa bermimpi tentang kamu dan suami kamu
ini. Katanya, kamu telah menerima satu anugerah yang amat istimewa.
Anugerah yang sama seperti bapa saya juga. Sebab itu saya datang
mencari kamu."
"Anugerah yang bagaimana pula?"
"Dapat melihat masa depan melalui mimpi..."
"Mimpi
sekadar mainan tidur, Teuku." Akasyah mengulang semula ayat yang aku
katakan malam tadi. Aku tersenyum. Pandai betul dia aplikasikan pada
Teuku Adi Iskandar pula.
"Namun pada setengah-setengah orang, mimpinya benar dan jadi suatu kenyataan..."