Closing EpisodeTadi cucu-cucu Mak Lang hampir saja melanggar Angah yang sedang sarat mengandung anak keduanya itu. Aku pula yang kecut perut. Walaupun berbadan dua, Angah bukannya tahu duduk diam. Sibuk ke hulu ke hilir melayan tetamu. Walhal aku sudah bagi 'lampu hijau' untuk dia berehat saja di ruang santai. Itulah akibatnya melanggar 'titah' Along. Kan sudah dilanggar pasukan cucu-cucu Mak Lang yang terkenal dengan nakalnya itu. Aku gelihati melihat Angah bercekak pinggang memarahi mereka. Yang lucunya, anak teruna Angah si Hakimi pun turut ada dalam pasukan yang 'menyerang' Angah.
Adat budak-budak... baru tegur masih ligat main tak ingat dunia. Habis di'tawaf' mereka satu rumah. Entah masuk pusingan ke berapa, Nur kurang pasti. Nasib baiklah rumah kami rumah batu. Kalau rumah Tok di kampung, mahu roboh dengan hentakan kaki mereka sekarang ini. Para tetamu hanya tersenyum simpul melihat telatah mereka.
Tiba-tiba kedengaran jeritan kuat datang dari ruang santai rumah kami. Aku tersentak. Jantung berdegup kencang. Masakan....
Angah! Takkan dah tiba masanya. Dia baru
pregnant lima bulan, hati aku berdetik.
Aku jadi kalut. Cepat-cepat aku berlari mendapatkan adik aku yang satu itu.
"Kimi... Kan mama kata pergi main jauh-jauh sikit." Telinga aku menangkap suara Angah memarahi anaknya yang baru berusia lima tahun setengah itu.
"Kenapa ni?" Aku bertanya sebaik saja sampai di tempat kejadian.
"Biasalah. Budak-budak..." Jawab Angah selamba.
"Angah ni... boleh bagi Along sakit jantung tau!" Balas aku sambil mengurut dada. Lega.
Mujur tiada apa yang buruk berlaku pada Angah. Sejak mengandung ini, perangai dia menjadi pelik. Mudah sangat jerit tak tentu. Pernah sekali, entah kumbang mana hinggap di atas ribanya semasa kami sekeluarga berkelah di Sungai Congkak. Jeritnya... Masya Allah! Padahal kerja Angah sebagai doktor di Hospital An-Nur Khadijah bergelumang dengan segala jenis orang yang datang dengan segala jenis penyakit. Pelik sungguh!
"Yang Along kalut semacam ni kenapa? Macam kucing nak beranak." Angah memulangkan paku keras pada aku.
"Ya ke?"
"Tahulah dia risau
ehem-ehemnya tak datang lagi."
Angah tersengih seperti kerang busuk.
"
Ehem-ehem?" Dahi aku berkerut.
Sejak bila pula Angah pandai guna kod rahsia ehem-ehem untuk kenakan Along ni? Dan sejak bila pula aku ada ehem-ehem yang tak datang lagi'? Fikir aku.
Belum sempat aku bertanya lebih lanjut, suami Angah datang memberitahu kami bahawa pengantin perempuan sudah hampir tiba. Niat aku terbantut. Lalu kami dua beradik berpimpin tangan melangkah ke posisi kami di pintu pagar depan.
Hari ini giliran rumah kami pula menyambut mempelai dari pihak perempuan. Majlis walimah meraikan perkahwinan adik lelaki tunggal kami, Khairul Naufal dan pilihan hatinya, Nurul Ahada. Mulanya hendak buat di rumah baru mama dan papa yang letaknya di Lembah Beringin. Tetapi memandangkan lokasinya kurang strategik, agak terpencil dan jauh dari bandar, jadi mama dan papa memutuskan majlisnya berlangsung di banglo tiga tingkat di Putrajaya ini sahaja.
Aku kurang mengenali gadis pilihan Achik itu. Cuma pernah dilihat wajahnya dalam album keluarga kami. Gambar semasa majlis hari Aidilfitri di Putrajaya ini dan waktu Achik berlepas ke Jerman dahulu.
"Mama nampak Sofea?" Aku menyoal perlahan.
"Entahlah... Tadi nampak dia dekat khemah sana." Balas Puan Norehan sambil menjuihkan bibir ke arah khemah untuk para tetamu.
Aku berundur beberapa tapak ke belakang. Risau hati aku apabila mengenangkan anak gadis yang satu-satunya itu. Aku menoleh dan waktu itulah aku terpandang kelibat Sofea dalam tetamu yang ramai. Dia sedang berbual mesra dengan seseorang di bawah khemah lelaki. Aku cuba mengamatinya dari jauh.
Sebaik sahaja mengetahui rupa paras teman bual anaknya itu, darah aku tersirap. Rasa hangat menyimbah ke muka. Kenapa mesti memandang wajah lelaki itu perasaan aku akan bergetar hebat? Aku bertanya pada diri sendiri. Teka-teki ini bermain di benak aku sejak kami berkerja di bawah satu bumbung enam bulan yang lalu.
"Tenung siapa tu?" Tanya Angah mengejut.
"Sofea... " Jawab aku kalut-kalut.
Pandangan difokuskan kembali pada acara yang sedang berlangsung. Khairul dan isterinya sedang melangkah masuk dan berjalan perlahan-lahan menuju ke khemah pengantin. Mereka diiringi oleh pasukan kompang yang diimport khas dari Sekolah Menengah Sri Petaling.
"Jejaka idaman dah sampai rupanya."
Aku buat-buat tak dengar kata-kata Angah itu. Muka sengaja dikerutkan seolah-olah aku sangat serius waktu ini. Padahal melihat sahaja 'jejaka idaman' tadi, mulut aku bagai tidak boleh ditutup lagi. Senyum aku sudah sampai ke telinga.
Serius Nur! Buang senyum!
Teringat kenangan waktu di'orentasi'kan oleh para senpai di Ambang Asuhan Jepun Universiti Malaya suatu ketika dahulu. Tempat di mana aku dan rakan-rakan lain diasuh mengenal negara matahari terbit itu dari segi bahasa, budaya, adat resam dan lain-lain. Satu perkara yang sangat baru pada aku masa itu.
Program yang dinamakan Rancang Persediaan Khas Jepun (RPKJ) itu adalah salah satu program di bawah Dasar Pandang Ke Timur atau dalam Bahasa Inggerisnya, Look East Policy (LEP). Dasar ini mula diperkenalkan oleh Bekas Perdana Menteri Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir pada tahun 1982. Matlamat utamanya ialah bagi menjadikan negera Timur, khususnya Jepun dan Korea Selatan yang pesat maju, sebagai contoh dalam usaha membangunkan Malaysia. Sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu akan adanya penerapan nilai atau etika kerja dua negara berkenan dapat memberi ilham dan inspirasi kepada budaya kerja di Malaysia bagi meningkatkan produktiviti.
Wah! Bicara aku sudah macam ahli politik!
Berbalik pada kisah minggu orentasi. Sebelum memperkenalkan diri di dalam dewan ADK2 yang tak ubah seperti berada di kutub utara itu, mereka beri warning awal-awal pada kohai-kohai baru seperti aku supaya membuang senyuman masing-masing.
"Berhenti! Siapa suruh kau senyum, hah? Kau ingat kau cantik sangat bila senyum macam tu?" Jerkah seorang senpai pada Ryn yang baru hendak jikosyoukai (perkenalkan diri).
Pasti semua orang kecut waktu itu dengan senpai yang sengaja meninggikan suaranya itu.
Ryn tu memanglah cantik manis orangnya. Tak senyum pun memang sudah sedia manis. Kalau tersenyum lagi bertambahlah lemak manisnya. Terserlah lesung pipit yang dalam pada pipinya yang halus itu. Kesian aku melihat Ryn yang terkulat-kulat dimarahi oleh senpai garang menyinga itu.
Waktu Tingkatan Satu di Tun Fatimah pun tiada arahan serupa itu. Masa aku jadi senior, tegur junior yang tak senyum adalah. Susah sangat ke nak senyum? Tetapi mungkin bukan semua dianugerahkan muka yang sedia tersenyum meskipun dilihat dari mana-mana angle.
Tiba-tiba kedengaran tawa kecil meletus dari seseorang. Aku kembali ke alam nyata. Rasa kecil saja Angah dilihatnya waktu ini. Mengenangkan lamunannya tadi, aku mendapat satu akal untuk mengusik adiknya.
"Apa gelak-gelak? Apa senyum-senyum? Ingat cantik sangat ke Angah tersenyum tergelak macam tu?" Aku sengaja mengajuk dialog senpai dulu. Ampun senpai!
Dalam masa yang sama hati aku bagai digeletek. Lakonan tidak menjadi apabila akhirnya tawa terburai dengan sendiri.
"Memanglah cantik! Sebab tulah abang Saiful terpikat dulu."
Angah mencebik bibir.
Sabar ajalah adik aku sorang ni, gerutu aku dalam hati.
"Ummi!" Jerit satu suara kecil.
Serentak itu pinggang aku dirangkul dari belakang. Aku berpaling lalu mendapati anakku itu tersenyum lebar. Aisyah Sofea, permata hati ummi. Sofea baru saja masuk Tahun Satu bulan Januari yang lalu. Cepat sungguh dia besar, bisik hati kecil aku.
"Sofea sembang dengan siapa tadi?" Tanya aku. Pura-pura tidak tahu.
"Dengan walid!"
Ya Allah, tolonglah aku!
Keceriaan Sofea membunuh kegembiraan aku.
"Berapa kali ummi dah pesan... jangan panggil uncle tu 'walid'? Dia bukannya walid Sofea tau." Kata aku lembut meskipun hakikatnya aku tidak gemar akan tindakan anakku tadi.
Sofea menundukkan wajahnya seperti pesalah.
Aku menghela nafas panjang. Bila berhadapan dengan Sofea dalam hal-hal begini, aku terpaksa melenturkan diriku. Aku tidak mahu perasaan anak itu terguris. Lagipun selama ini Sofea tidak pernah memanggil sesiapapun dengan nama itu. Cuma selepas kali pertama Sofea bertemu empat mata dengan lelaki yang juga mencetuskan debar di hati umminya ini, panggilan keramat itu meniti bibirnya.
"Ummi bukannya marah. Tapi..." Rambut Sofea diusap lembut. Aku mula mencari akal. Kebetulan pada masa itu cucu Mak Lang melintas dan aku mendapat idea memujuk anaknya itu. "Ummi takut nanti Hafiz jeleous kalau dia nampak Sofea sembang dengan orang lain."
Adakah patut si Hafiz cucu Mak Lang yang baru masuk tadika itu terlibat sama. Makan pun bersuap lagi. Aku ketawa dalam hati. Maafkan Mak Long ya Fiz!
"Hafiz tu kecil lagi. Mana dia tahu jeleous." Balas Sofea dengan petah sekali.
Aku ketawa kecil. Bijak anak ummi!
"Lagipun walid tu baiklah, ummi. Sofea suka dia." Sambungnya lagi.
Rasa sesak nafas aku setiap kali mendengar perkataan 'walid' keluar dari mulut Sofea. Baru sahaja aku hendak buka mulut, Sofea sudah mehilangkan diri semula ke khemah tadi. Mahu sahaja Nur mengejarnya dari belakang. Tetapi dek kerana malu dengan orang keliling, Nur jalan lambat-lambat. Sengaja aku melintas di depan khemah lelaki dengan harapan Sofea akan tahu hati umminya ini sudah macam air yang menggelegak atas api. Tetapi malangnya si kecil itu buat tak endah malah nampak bertambah mesra lagi adalah.
Amboi! Siap makan bersuap lagi! Hati aku menjerit. Bulat mata aku melihat gelagat anak gadisku itu. Dibuatnya lelaki itu betul-betul macam walidnya pula.
"Tadi orang bagi makan, tak nak. Kenyanglah apalah." Mulut aku mula membebel.
Lelaki tu pun satu. Rajin benar melayan si Sofea, bentak hati aku sambil merenung 'walid' Sofea dengan hati sebal. Dengan baju melayu leher cekak musang berwarna biru tua, lelaki itu nampak seperti anggota kumpulan nasyid. Wajahnya jadi kemerah-merahan dek bahang panas mentari.
Hai Nur! Kau ni nak tengok anak kau atau lelaki tu? Anak dah satu pun gatal lagi! Tempelak hati aku yang satu lagi.
Wajah aku terus merona kemerahan. Entah macam mana pandangan aku bersatu dengan lelaki itu. Aku tersentak. Perasaan halus menyelinap dalam diri. Indah. Satu rasa yang sudah terkubur sekian lama dan hanya muncul semula apabila terpandang lelaki yang bersama Sofea itu.
Jatuh cintakah aku?
Aku beristighfar panjang. Sedar akan kekhilafan diri. Lelaki itu bukan muhrim aku. Malah bukan walid kepada Sofea. Tidak sepatutnya aku berperasaan begini. Cepat-cepat aku mencantas rasa terlarang yang bercambah di hatinya.
Ya Allah! Aku sudah sedaya upaya mengelak. Tetapi Kau hadirkan juga perasaan ini. Engkau lebih mengetahui bahawa hati ini sudah tertutup untuk menerima kehadiran lelaki lain dalam episod hidupku ini. Di saat segala perhatianku hanyalah untuk Sofea, lelaki itu juga berjaya mencuri tempat di dalam hatiku. Mungkinkah ini petanda kebahagiaan akan muncul semula untuk aku dan Sofea? Hanya Engkau yang lebih tahu.
Gelak-tawa Sofea bersama lelaki itu mencuit perasaan wanita aku. Rasa bahagia sama. Sejak lelaki itu muncul dalam hidup Sofea, aku lihat anakku itu makin ceria. Kalau ada majlis yang berkaitan syarikat datuknya itu, pasti Sofea mahu ikut serta tanpa perlu aku memujuk seperti selalu. Kini dia pula sudah pandai merajuk kalau aku mahu tinggalkan saja dia di rumah. Seperti yang terjadi dalam kes majlis Annual Dinner di Golden Horses, Ampang pada hujung tahun lepas.
"Sofea nak jumpa walid. Dah lama Sofea pergi jumpa dia. Mesti walid rindu pada Sofea."
Begitulah jawapannya bila papa bertanyakan alasan Sofea. Aku sudah bulat biji mata apabila melihat tingkah Sofea yang makin menjadi-jadi itu. Anak gadis aku itu sanggup datang merayu pada datuknya setelah aku bertegas enggan membawa Sofea bersama-sama.
"Budak-budak mana boleh ikut. Ni untuk orang tua-tua aja." kata papa pada cucu sulungnya itu.
Aku tersenyum pada papa yang berpihak padaku. Sekejap! Orang tua? Kalau begitu, aku pun tak mahu pergi. Cancel! Nur belum tua lagilah, pa.
Wajah Sofea sudah masam mencuka. Kecewalah tu. Datuknya tak 'backing' dia macam selalu, gelak aku dalam hati.
"Lagipun Annual Dinner ni bukannya macam Hari Keluarga yang Sofea suka tu. Tak ada main-main. Tak boleh lari-lari. Kena duduk aja. Mesti Sofea bosan nanti." Tambah aku pula dengan harapan Sofea tidak terus-menerus mendesak.
Tetapi nampaknya Sofea tidak ambil peduli malah terus merayu dan merayu pada papa. Kononnya supaya papa dapat pujuk umminya ini lembut hati. Sekarang papa pula pandang aku satu macam.
"Nak jumpa walid juga!" Ulang Sofea beberapa kali dengan deraian air matanya.
Ya Rabbi! Disebutnya lagi...
"Sofea... Tak pernah ummi ajar degil macam ni." Aku cuba mengawal kemarahanku di depan papa.
Sofea mula menangis teresak-esak di bahu datuknya. Hati papa mula mencair bila melihat cucu kesayangan itu sedih begitu. Dipujuknya Sofea dengan macam-macam tawaran sebagai ganti. Mahu bawa ke Sunway Lagoonlah, Bukit Merahlah. Namun, Sofea masih dengan kedegilannya.
"Biarlah kalau dia jumpa walidnya." Kata papa sambil mengusap rambut cucunya itu. Matanya tidak lepas-lepas memerhatikan reaksi aku.
Melompat sakanlah anak dara aku yang satu itu. Dalam sekelip mata wajahnya bertukar ceria. Aku hanya menggigit bibir menahan marah.
"Papa janganlah manjakan sangat Sofea tu. Takut dia makin naik lemak. Teruk Nur melayan kehendaknya nanti." Ujarku.
Papa cuma diam.
"Ada apa-apa yang Nur nak beritahu? Yang Nur rahsiakan dari pengetahuan papa?" Soal lelaki berusia pertengahan 60-an itu sebaik sahaja Sofea meninggalkan di ruang tamu.
Papa bijak mengambil peluang yang datang. Aku juga yang terkedu sendiri. Ruang tamu yang luas itu tiba-tiba aku rasa sempit.
"Siapa 'walid' yang Sofea sebut-sebut tu? Dia kerja dengan kita ke? Nur tak pernah cerita pun pada papa selama ni yang Sofea dah ada 'walid'." Kata papa lalu mencapai akhbar di atas meja.
Helaian demi helaian diselak. Aku tahu papa hanya pura-pura membaca. Sebenarnya dia cuba mencungkil rahsia 'walid' Sofea itu. Walaupun riak wajahnya terpancar kelembutan, akan tetapi sorotan mata papa buat aku sesak nafas. Matanya yang tajam itu merenung aku di sebalik kaca mata bingkai bulat warna emas yang dipakainya waktu itu.
"Bila Nur nak perkenalkan 'walid' Sofea tu pada semua?"
Nah! Satu lagi soalan cepumas papa. Aku sudah rasa bagai dipanggang atas api saat itu. Tak senang duduk jadinya. Papa tetap tenang bagai air di laut. Sebaliknya aku yang kelemasan dengan soalan yang bertubi-tubi. Pada telahan aku, papa sudah maklum hujung pangkal ceritanya. Mungkin dia cuma mahu dengar sendiri pengakuan dari mulut anak sulungnya ini. Benar ataupun tidak.
Tanpa perlu berfikir panjang, aku menidakkan tuduhan papanya itu. Biarlah aku berterus-terang perkara yang sebenarnya supaya papa tidak lagi menaruh sangsi.
"Cucu kesayangan papa tu yang pandai-pandai panggil lelaki tu 'walid'. Bukannya Nur yang suruh. Dan yang paling penting... memang kami memang tak ada apa-apa." Jelasku.
Sofea yang punya angkara. Kenapa umminya pula yang disoal-siasat? Protes aku dalam hati.
Mujur papa menerima alasan aku. Tetapi, pasti dia akan bertanya lagi kerana hari ini sekali lagi Sofea buat hal. Perbuatan Sofea sekarang ini sudah tentu sudah dikesan oleh 'radar' datuknya. Saudara-mara yang juga menyaksikan kemesraan Sofea dengan lelaki asing itu mula berbisik-bisik antara satu sama lain. Inilah yang paling aku takutkan. Pandangan sinis mereka buat kolam mata aku bertakung. Hati aku lebih terluka apabila Sofea ingkar arahanku. Bukankah aku dah ingatkan supaya jangan sekali-kali pergi dekat 'walid'nya depan orang ramai. Masih dibuatnya juga.
Sofea memang tak sayang ummi!
....
....
Nak tahu kisah seterusnya?Temui Nur Khadijah dalam novel cetak, insya-allah......suatu hari nanti.
Jika dipanjangkan umur dan dikuatkan azam olehNya...Tolong doakan impian sejak 18 Mac 2005 ini bakal jadi kenyataan...