:: Rnysa's Homemade Cookies ::


gambar hiasan semata-mata

*Penulis
rnysa

Emel Penulis
relevankah_aku (alias) yahoo (dot) co (dot) uk

**Blog Penulis
http://rnysa.blogdrive.com
http://synar-hikari.blogdrive.com

Karya Online Rnysa
Relevankah Aku Di Hatimu? a.k.a RADHA
Relevankah Aku Di Hatimu 2 a.k.a RADHA 2
Relevankah Aku Di Hatimu 3 a.k.a RADHA 3
Relevankah Aku Di Hatimu 4 a.k.a RADHA 4
Cinta Sofea/Cahaya Sakura
Piano Berlagu Lagi
Dua Dunia
Cinta, Akhirnya Bahagia
Albatros: Antara Langit Dan Bumi
Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag
Albatros [HiKaRi]
Generasi 99 a.k.a Gen 99
1 Phase, 3 Phase
Relevankah Aku Di Hatinya? a.k.a REDHA
Hikari Express No Ainori

B-Wave Rnysa
Red Alert
Bulan Mei
Akta Hak Cipta 1987

Dapur Rnysa
B-Day Card & T-Shirt UniKL

Oven Rnysa
Pemenang Kuiz Bulan Mac


Perhatian
Karya Online Rnysa ini adalah rekaan penulis semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa, samada masih hidup atau telah meninggal. Jika ada persamaan ia hanyalah kebetulan sahaja.

~ Hak Cipta Terpelihara ~
Tidak dibenarkan mana-mana bahagian daripada Karya Online Rnysa ini disiarkan semula (dalam mana-mana blog/forum/website selain daripada **blog penulis), disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan kepada bentuk lain, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain tanpa kebenaran dari pihak *penulis terlebih dahulu.



E-Novel Rnysa

Relevankah Aku Di Hatimu?

The compilation of
RADHA & RADHA 2
in
edisi cetak


Cinta Sofea

"Mengapa didamba teman seistimewa Khadijah jika diri tak sesempurna Muhammad..."

Bahagian Satu
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10
11 | 12 | 13
Bahagian Dua
14 | 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20
Bahagian Tiga
21 | 22 | 23 | 24 | 25 | 26
Bahagian Empat
27 | 28 | 29 | 30


** Relevankah Aku Di Hatinya? **
a.k.a REDHA

Dari Pagar Ruyung Ke Den Haag
(formerly known as Relevankah Aku Di Hatimu 3)

Ada sejarah lama yang akan terbongkar...
Ada sejarah baru yang bakal terukir...

1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 | 12


1 Phase, 3 Phase
(also known as Relevankah Aku Di Hatimu 4)
{v = 0.1, 0.5, 0.9}
{v = 1.0, 2.0, 3.0}
{v = 4.0, 5.0, 6.0}
{v = 7.0, 8.0, 9.0}
{v = 10.0, 11.0, 12.0}
{v = 13.0, 14.0, 15.0}




Generasi 99

Intro



Hikari Express No Ainori
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10
11 | 12 | 13


E-Cerpen

Piano Berlagu Lagi
1 | 2 | 3 | 4


Albatros: Antara Langit Dan Bumi
(formerly known as Dua Dunia)

edisi cetak


Cinta, Akhirnya Bahagia
1 | 2 | 3 | 4 | 5 | 6


Albatros [HiKaRi]
Intro




Tingkap dapur Rnysa
   




If you want to be updated on this weblog Enter your email here:












Kedai Pesanan Online
Edisi Cetak Karya Online Rnysa

 Jemari Seni Publishing [Dalam negara] 

 Kedai Buku @ com [Dalam & Luar Negara] 
(Sila klik banner di bawah ini)


Kini berada di pasaran...

RELEVANKAH AKU DI HATIMU? (2006)



Tajuk : Relevankah Aku Di Hatimu?
Penulis : Rnysa
Harga : RM 20.00
Jumlah Helaian : 489 muka surat
Penerbit : Jemari Seni Publishing

Kisah persahabatan dari Taiping ke Tokyo ini, berteraskan ketulusan bersandarkan hukum. Syah memang tidak pernah dewasa, namun ada sebab kenapa dia harus jadi dewasa!


KEBUN MIMPI (2008)
Ceritera III
ALBATROS: Antara Langit Dan Bumi



Judul: Kebun Mimpi
Penulis: Noor Suraya, Syud & Rnysa
Harga: RM21.50
Penerbit : Jemari Seni Publishing

Dalam ceritera ini, sang penulis membawa kita 2 kisah, 2 cerita, 2 perempuan dengan persepsi hidup yang subjektif rupabentuknya. Menerusi perwatakan Nurul Izzah seorang aquarist dan Adriena Ayuni seorang pelajar kejuruteraan aviasi yang menafsir kehidupan bertunjangkan pemahaman tersendiri. Menerusi Albatros, kisah mereka disatukan biarkan dari dimensi yang berbeza. - Review oleh Kucc Geng Kicap









The WeatherPixie



anda pelawat yang ke




sejak 23 Oktober 2003

online


rss feed




Saturday, January 03, 2009
CINTA SOFEA (7)

Pantun Kasih
(Nota: Pertemuan Khadijah dan Akasyah ini hanya untuk versi online sahaja.)


Esok hari sebilangan kami akan bertolak ke ski resort. Sebenarnya program kali ini adalah hasil usahasama antara PKPIMJ dan PKPMJ (Persatuan Kebangsaaan Pelajar Malaysia Jepun). Ada dua pakej utama 'Cuti-Cuti Jepun' yang ditawarkan. Pertama, program di tepi laut ini yang penuh dengan pengisian rohani. Kedua, pakej ski yang sebelah malamnya diisi aktiviti ilmiah ringan. Yang berminat mengikuti kedua-duanya diberi diskaun istimewa.

Pendekatan baru ini aku kira selari dengan komentar 'berapi-api' dari Mukhriz semasa sesi perbahasan ucapan dasar Ameer (ketua) PKPIMJ dalam muktamar tahun lepas. "Pendukung dakwah perlu kreatif dalam mengemukakan dakwah Islam dengan uslub (cara) yang baik dengan cara yang menarik dan menawan hati. Selain dari mempunyai pembacaan yang luas, mengikuti segala peristiwa, segala pergolakan, mengikuti segala perkembangan suasana dan situasi mesti mengetahui berbagai-bagai mazhab dan aliran fikrah semasa. Di tengah ombak dan gelombang kesesatan yang menyesatkan dari segala penjuru dunia, peluang dakwah mesti dicari dan digunakan sebaik-baiknya."

Jadi, hari ini merupakan hari terakhir kami berada di Sumiyoshihama Resort Park setelah berkampung selama tiga hari tiga malam. Sepanjang hari ini tiada pengisian ilmiah di dewan mahupun sesi LDK di rumah penginapan. Aktiviti santai. Lepas sarapan, kami semua pergi melawat tempat menarik sekitar Oita dan Beppu. Seronok betul jalan beramai-ramai. Meriah!

Sekitar jam tiga hampir semua sudah kembali ke rumah penginapan. Kak Fida mengajak aku berjalan-jalan sekeliling resort yang pantainya dilindungi oleh pokok pine ini. Oleh kerana aku belum menjejaki setiap inci tempat peranginan ini, jadi aku pun bersetuju. Lagipun aku tahu pasti ada sesuatu yang ingin disampaikannya. Sama ada:

A. menyambung kisah Muna malam tadi
B. berbicara tentang Mukhriz
C. kedua-dua jawapan di atas

atau...

D. memang semata-mata mahu menikmati keindahan alam semulajadi

Mungkin jawapan D itu tak perlu dan terlalu jujur. Jawapan budak tadika. Memandangkan aku cukup arif tentang Kak Fida, jadi tentu sekali jawapannya adalah C. Mula-mula kami memperkatakan tentang Muna. Begitu dan begini lebih kurang.

"Walaupun dakwah bukan lembaga sosial, tetapi ia mementingkan persoalan menjaga kebajikan masyarakat. Jadi, kita tak boleh pinggirkan Muna. Dia mesti dibantu."

Aku mengangguk setuju. "Sebab tugas kita membaiki suasana dan tidak memburukkannya, kan?"

"Betul tu... " Sambut Kak Fida. "Kerana berapa ramai orang yang mengaku sebagai pendakwah yang telah merosakkan Islam dengan keburukan cara berdakwah dalam Islam dan mendatangkan keburukan kepada Islam dengan sangkaan bahawa mereka telah berbuat baik."

Islam itu indah. Cinta itu suci. Jangan cemarkan cinta kerana ia anugerah dari Ilahi.

Muna.

Kelopak mata kembali hangat. Sebak.

Masuk pula isu Mr. Syed...

"Mukhriz nak jumpa Adi sebelum kita bertolak ke ski jyou (ski resort) nanti? Katanya ada hal penting." Suara Kak Fida bertingkah dengan deruan ombak.

"Ala... apa pula nak jumpa-jumpa ni?" Tanya aku agak kurang senang. Bermain-main dengan tali kamera menghilangkan resah.

"Katanya, nak bincang pasal masa depan hubungan antum berdua. Ke mana hala tujunya..."

Aku membeliakkan mata besar-besar bagaikan tidak percaya. Lelaki itu sudah terlebih bijak agaknya. Apa ceritanya ni? Sejak bila pula kami menjalin apa-apa hubungan? Bermula pun belum lagi, dah nak bercakap soal hala tuju? Apa kata hala tujukan saja ke dalam laut!

"Dia tu suka sangat desak orang." Entah macam mana itu yang terlepas dari celah bibirku. Menahan geram pada Mukhriz yang tak mahu mengalah itu.

Aku melemparkan pandangan kosong ke dada laut. Menghela nafas yang berat. Sedikit sebanyak perkara yang menimpa diri Muna mengganggu ketenangan jiwaku. Seram sejuk tubuhku bila memikirkannya. Semoga Allah tidak menduga aku sampai begitu sekali, pohonku dalam hati.

Paling-paling teruk biarlah setakat tertinggal densya. Walaupun terjadi berulang kali pun lepas ini (pastinya secara tak sengaja, takkanlah nak hilang suka-suka), aku akan terima dengan redha. Walaupun terpaksa mendengar ceramah percuma dari Mukhriz, aku takkan merungut lagi.

"Adi." Seru Kak Fida, memecah sunyi.

Aku berpaling. Wajah bakal doktor itu tampak serba salah. "Pasal hubungan, hala tuju... Kak Fida yang pandai-pandai tokok tambah sendiri. Mukhriz cuma kata nak jumpa, itupun kalau Adi sudi. Dia pun tahu Adi tak suka dipaksa-paksa. Dia faham." Tutur Kak Fida, seperti tahu apa yang tersirat di hati.

Aku senyum tawar. Sesal. Betul kata Mukhriz dulu, aku cepat buruk sangka pada dia. Mudah melenting tak tentu. Maafkan aku, Mukhriz. Banyak betul dosa aku mengumpat kau dalam hati. Entah bila aku nak langsaikan hutang maaf ini. Tunggu hari raya?
 
Gelak tawa Kak Akasyah bersama suami dan anak lelakinya mencuri perhatianku. Dari jauh kelihatan ayah dan ibu memimpin tangan si kecil di kiri kanan, menyusuri benteng batu sepanjang tepi laut. Carl Duke Arham yang berambut perang itu bukan main seronok lagi. Gembira sangat melihat camar yang terbang rendah sampaikan kakinya terloncat-loncat.

"Arham ni sebijik 'cut and paste' muka abahnya masa kecil. Hidung dan telinga aja ikut Kak Syah," cerita ibu muda itu sementara menanti makan malam pada hari pertama program.

Kak Syah atau nama sebenarnya Nurul Akasyah bersama suaminya dijemput sebagai penceramah program kali ini, selain dari Ustaz Anuar Rizal dan isterinya. Menurut kata Kak Syah, kedatangannya ke bumi Jepun ini bagai sirih pulang ke gagang.

"Ikan berenang di dalam lubuk,
Ikan belida dadanya panjang;
Adat pinang pulang ke tampuk,
Adat sirih pulang ke gagang."

Arham yang duduk di atas riba bertepuk tangan tatkala mendengar ibunya berpantun. Kak Syah tersenyum senang lalu kepala anaknya dikucup lembut .

Geram betul melihat Arham yang putih melepak itu. Sedang dia leka bermain aku sempat mencubit-cubit manja pipinya yang gebu. Memang si kecil menyalin wajah abahnya yang tampan.

Pertama kali melihat Abang Adam, aku fikir Kak Syah bersuamikan orang putih. Lagipun namanya pun macam orang dari sebelah sana. Carl Duke Adam. Bila dia memperkenalkan diri dalam Bahasa Melayu dengan fasihnya, barulah kami semua tahu suami Kak Syah itu separuh Melayu. Melayu Banjar. Padanlah dahinya luas. Kata orang, mereka yang berdahi luas ni pandai.

"Enam tahun Kak Syah belajar kat sini. Banyak sangat kenangan manis. Bertemu jodoh pun di bumi sakura ni juga." Tiba-tiba wajah manisnya merona merah.

Kak Syah menyambung lagi,

"Laksamana berempat di atas pentas,
Cukup berlima dengan gurunya;
Bagaikan dakwat dengan kertas,
Sudah berjumpa dengan jodohnya."

Kami semua terhibur dengan pantun yang disajikan. Aku turut sama rasa kagum. Setahu aku Kak Syah yang juga bekas senpai aku di Todai (Tokyo Daigaku) itu student kougaku (engineering) dan sukakan teori saintifik. Sejak bila pula dia bertukar angin mendalami sastera melayu?

Apabila kami bertanya dari mana datangnya kehebatan berpantun isterinya itu, Abang Adam menerangkan sambil ketawa halus, "Sejak balik dari rumah kakak saudaranya yang pernah mengajar Sastera Melayu, Kak Syah kamu ni tak habis-habis berpantun. Ana pun tak tau nak buat macam mana. Surrender..."

Kak Syah yang menyedari cakap-cakap suaminya itu mencerlangkan matanya yang hitam bulat. Lalu Abang Adam mencuit dagu isterinya, mahu mengambil hati. Aku suka melihat telatah mereka suami isteri, malah aku rasa orang lain pun begitu juga.

"Bertuahnya Kak Syah. Abang Adam sayangkan dia sungguh-sungguh." Bisik Ryn yang sudah setahun mengikat janji dengan pelajar Malaysia yang menuntut di Al-Azhar, Mesir.

"Sabarlah.. tak lama nanti giliran kau pula. Aku nak merasa nasi minyak kau ni... Bila tarikh langsungnya?" Usikku.

Dang Adryna langsung tersipu-sipu malu. "Niat di hati memang nak disegerakan, tapi umi minta tunggu sampai aku sotsugyou (graduate) dulu. Kau pun tahu kan kami sama-sama jauh. Tahun depan dia nak habis dah..."

Aku cepat-cepat memintas.

"Jadi apa masalahnya? Lepas kahwin ajaklah dia datang sini temankan kau." "Amboi, senangnya berkata-kata. Habis dia nak buat apa nanti?" "Cubalah cari kerja di ICJ (Islamic Centre Japan) ke... sambung belajar ke? Nak seribu daya..." "Yang kau sibuk-sibuk tentang aku, kau tu bila lagi?"

"Aku?"

Terdiam. Wajah Mukhriz yang berkupiah putih muncul. Silih berganti dengan Fathi yang memiliki sepasang mata helang. Pening aku pening.

"Kalau tak nak, tak apalah. Jangan dipaksakan sangat diri tu. Bila Adi berdolak-dalik maknanya hati Adi belum sedia lagilah tu. Kak Fida faham. Kak Fida pun pernah rasa macam tu juga dulu," kata Kak Fida dengan panjang lebar, membunuh khayal.

Aku tidak membalas. Bertanya pada diri, sampai bila aku nak menolak begini? Apa yang tidak kena dengan diri aku? Hanya kerana menanti lelaki bernama Muhammad yang aku tak tahu entah siapa, jawapan yang sepatutnya diberi pada Mukhriz dilambat-lambatkan. Tapi betullah... buat apa nak bergopoh-gapah dalam soal nikah kahwin ni. Bukannya aku yang mahukan semua ini. Jadi 'orang sana' kenalah bersabar sikit.

"Adi fikirkanlah. Tentang keluarga Adi... Kak Fida rasa tak ada halangan lagi, kan. Mereka dah tahu tentang ni. Sekarang semuanya terletak di tangan Adi."

Aku terpinga-pinga. "Apa maksudnya keluarga saya dah tahu? Saya tak pernah cerita apa-apa pun."

"Eh, takkan Mukhriz tak cakap? Mukhriz kata, dia dah minta izin nak berkawan dengan Adi... dari papa Adi sendiri. Dia pun dah maklumkan tentang tu pada Adi, takut itu yang menghalang Adi..."

Aku sudah tidak mendengar bait kata seterusnya. Ya Allah! Papa pun tahu tentang Mukhriz? Maknanya mama pun mesti tahu. Oh, tidak...

"Sungguh saya tak tahu-menahu pun pasal ni..."

"Agaknya Adi terlepas pandang emel atau surat yang Mukhriz kasi."

Salah aku, memang salah aku. Aku memang sunguh-sungguh tertinggal keretapi. Mukhriz sudah selamat sampai di Oita, sedangkan aku masih terperangkap di dalam salji di Gifu. Dia faham apa yang dia inginkan, sedangkan aku masih keliru di sana sini.

Tahu-tahu Kak Syah sekeluarga sudah berada di hadapan kami. Aku sangat berterima kasih pada Kak Syah kerana buat kesekian kalinya aku dapat larikan diri daripada runsingkan kepala soal Mukhriz. Senyuman Arham yang comel itu menggamit aku. Lalu aku meminta izin ingin mendukungnya.

"Berat betul. Padahal umur tak sampai dua tahun lagi. Memang ikut saiz anak orang putih." Ulasku sambil menggeletek perutnya.

"Amboi Arham... ketawanya tak henti. Suka benar dikelilingi kakak-kakak yang cantik jelita ya. Haa... mulalah buat muka perasan comelnya tu supaya dilayan lebih-lebih. Ikut perangai siapalah agaknya," kata Kak Syah selamba sambil menjeling-jeling ke arah suaminya.

Aku dan Kak Fida menahan tawa. Kak Syah suka benar mengusik suaminya. Mujur Abang Adam jenis sporting. Kadangkala dia membalas juga bila tak ramai orang lain di situ.

"Adi, jangan dimanjakan sangat Arham tu. Takut jadi kaduk naik junjung pula dia." Cepat-cepat anak mata Kak Syah beralih pada Abang Adam. "Sekadar peribahasa lama. No offense."

Si suami senyum penuh makna. "Sayang nak pergi sana kejap. Jangan sembang lama-lama sangat tau," bisiknya perlahan.

Kak Syah menghantar suaminya dengan serangkap pantun.

"Pulau Tinggi terendak Cina,
Nampak dari Pulau Sibu;
Tuan pergi janganlah lama,
Tidak kuasa menanggung rindu."

Abang Adam menggeleng. "Apa yang Kak Su dah buat pada isteri abang ni?" Tuturnya sebelum pergi melihat sekumpulan ikhwah yang sedang bermain bola sepak dekat-dekat situ.

"Kak Syah."

"Kalau tak keberatan, boleh Adi tahu macam mana Kak Syah boleh terlibat secara serius dalam PKPIMJ dan dakwah ni? Bagaimana dari seorang yang tiada pengetahuan asas tentang usrah, amal jamaie... boleh jadi seorang daie'ah yang hebat?"

"Masya-Allah, apa ni Adi? Kak Syah tahulah kamu ni bekas wartawan buletin sekolah." Kak Syah ketawa geli hati.

Rasa hangat menyimbah wajah. "Bukannya apa..." Aku mengetap bibir. "Bukannya apa... sebab saya pun tak biasa dengan semua ni juga dulu. Kekok. Sekarang alhamdulillah, Allah bagi kefahaman tu sedikit demi sedikit. Jadi saya nak dengar pengalaman Kak Syah pula." Peluang inilah aku manfaat sepenuhnya untuk mengenali Kak Nurul Akasyah. Walaupun dia merupakan ex-senior aku, namun dia pulang dua tahun lebih awal sebelum aku tiba di Jepun.

"Kamu silap orang agaknya. Usahlah diberi pujian yang bukan-bukan pada orang tak sehebat mana ni. Cerita kita lebih kurang aja rasanya. Kak Syah sendiri ni pun... ambil masa yang lama untuk proses pembinaan diri. Zaman sekolah dulu, Kak Syah ni orang biasa aja. Bukannya dari sekolah agama mana-mana atau AJK BADAR, Badan Dakwah Dan Rohani atau yang seumpamanya. Punya kecenderungan dalam bidang sukan, terutamanya bola jaring. Dan persembahan pentas... koir, choral-speaking, lakonan dan sebagainya."

Nyata pengalaman dia tidak jauh beza dari aku. Cuma aku ini sedikit pemalu. Lebih gemar kerja belakang pentas. Menyediakan props dan sebagainya. Lenguh pula tangan menelek Arham. Jadi aku biarkan kakinya menyentuh tanah. Jemari tangannya kugenggam erat. 

"Bila sampai AAJ memang culture shock. Tiba-tiba datang kakak-kakak dari Akademi Pengajian Islam yang bertudung labuh ajak join usrah segala, jadi kita yang datang dari background koir, choral-speaking ni mestilah terkejut." Cerita Kak Syah sungguh-sungguh.

"Tapi waktu tu Kak Syah jenis mengikut aja, tak bantah... sebab tahu ajakan tu ke arah benda yang baik, kan. Waktu mereka cakap pasal jemaah, dakwah.... Kak Syah memang selalu blur. Apa benda sebenarnya dia orang nak buat pada Kak Syah ni? Apa yang dia orang nampak pada diri kita sampai tiba-tiba nak diletakkan beban dakwah atas bahu orang yang tak tahu apa-apa ni? Satu transformasi yang mendadak.

Sepanjang tempoh dua tahun di UM sampailah ke Jepun Kak Syah masih tak faham-faham kenapa perlunya berada dalam jemaah... bukan sekadar dalami ilmu agama untuk diri sendiri. Perlunya kita tergolong dalam segolongan umat yang menyeru ke arah kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Sebab Kak Syah sentiasa memikirkan diri ni tak layak, kurang ilmu serba-serbi dan bukan datang dari sekolah agama, maahad..."

Kasihan Kak Syah... Orang yang cuba membawanya masih belum hadam rukun pertama dalam usrah. Ta'aruf - saling kenal. Dalam tahap ini, seseorang tidak hanya mengenal begitu saja saudaranya; akan tetapi lebih jauh mencuba mengenali penampilan, sifat-sifat (shaksiyah) dan pemikiran saudaranya. Pengenalan dalam tahap ini mencakupi aspek jasadiy (fizik), fikry (pemikiran) dan nafsiy (kejiwaan).

"Alhamdulillah, lama-kelamaan Allah berikan kefahaman... macam Adi kata tadi. Yang dulunya samar-samar jadi semakin jelas. Kita faham akan hakikat Islam. Jelas setiap yang halal dan yang haram. Perlahan-lahan lakukan kebaikan dan tinggalkan sebarang kemungkaran. Beransur-ansur ikuti peringkat pembinaan dan tarbiah diri."

Al Imam Hasan alBanna rahmatullah telah menjelaskan di dalam tulisan-tulisannya bagaimana perlunya kita beriltizam di atas manhaj tarbiah dan mempersiapkan individu Muslim sebagai pendukung aqidah dan menjauhi cara-cara parti politik - (yang bukan Islam) - tetapi menumpukan segala tenaga untuk beramal dan menjauhi pertengkaran dan bantah membantah yang membuang masa dan mematikan kesungguhan dan kadang-kadang menyakitkan hati.

"Selain dari dikelilingi teman-teman yang banyak membantu, syukur dalam masa yang sama Allah juga anugerah seseorang yang tak jemu-jemu mendorong Kak Syah supaya jadi muslimah sejati..."

Ibu muda itu mencari kelibat suaminya dalam kumpulan yang bermain bola sepak sebelum mengukir senyuman manis. "Yang kini jadi suami dan bapa pada anak Kak Syah. Dengan izin Allah, akhirnya Kak Syah jadi seperti apa yang Adi nampak sekarang. Itulah kisah klasik nan tak seberapa indahnya..."

Aku turut senyum.

Al Imam juga sentiasa berpesan kepada kita tentang ukhuwwah... supaya memperkuatkan ikatan dan cinta kerana Allah dan pada Allah. Jalan dakwah adalah jalan Rasulullah, jalan para sahabat dan jalan as salafus salih yang diredhai Allah Taala.

Cinta kerana Allah dan pada Allah. Cinta.

"Kak Akasyah." Suara lelaki mencelah.

Kami semua menoleh serentak. Jantung aku tiba-tiba saja berubah rentak. Haiqal menumpahkan seluruh pandangannya pada Kak Syah.

"Abang Adam minta saya ambilkan Arham. Kata dia, nak beri si comel tu tengok bola sama." Tuturnya ramah sambil menjeling sekilas pada Carl Duke Arham.

Kak Syah mengangguk. Lalu aku serahkan Arham pada Haiqal. Lelaki itu sedikitpun tidak memandang aku. Senyum pun tidak, apa pun tidak. Hati perempuan aku terusik lagi. Kini Haiqal Irsyad... hatinya sudah sedingin salju. Aku menghantar langkah Haiqal dengan pandangan.

Mata aku bertembung dengan Kak Syah yang sedang memerhatikan tingkahku. "Fida... dengar kata PKPIMJ ada tubuh unit baru, unit baitul muslim (rumah tangga islam). Betul ke?"

Kak Fida mengangguk. "Kita lancarkan masa cuti Golden Week yang lepas... bawah lajnah kebajikan."

"Wah, makin maju sekarang ya. Dulu tak macam ni. Macam mana sambutannya? Orang macam Adi ni..." Bahuku disentuh lembut. Aku terbatuk kecil apatah lagi namaku disebut. Hati berdebar tiada henti. "... belajar marketing. Tanyalah macam mana cara nak promosi unit tu pada student Malaysia yang lain. Rugi besar kalau tak manfaatkan kelebihan ahli-ahli kita yang datang dari pelbagai bidang ni. Betul tak Adi?"

Aku mengangguk cepat-cepat.

"Yang kamu gemuruh semacam ni kenapa? Ingat Kak Syah nak cakap apa tadi?"

"Tak ada apa-apa."

Ibu anak satu itu menyeluruhi wajah aku. Renungannya semacam cuba menembus sampai ke dalam hati. Aku pura-pura mengamati kapal yang belayar di tengah laut.

Keadaan menjadi hening.

"Kak Syah..."

Dua kali dipanggil tapi tidak berjawab. Baru aku perasan, dia sedang berbalas senyuman dengan entah siapa. Oh, melambai-lambai pada Arham rupanya.

"Apa lagi soalannya Khadijah..." Kak Syah bersuara lembut. Matanya masih tertumpah pada dua lelaki istimewa dalam hidupnya itu.

Aku menanti Kak Fida jauh sedikit dari kami berdua sebelum bersuara semula. "Nak minta pendapat sikit. Contohnya... Kak Syah masih single, tak ada kawan dengan siapa-siapa lagi. Masih belajar. Tiba-tiba melalui seorang kakak ni, ada seorang lelaki baik dan tinggi ilmunya... dia nak jadikan Kak Syah isteri dia. Lelaki ni bersungguh-sungguh nak dirikan rumah tangga dalam masa belajar ni juga. Tapi Kak Syah rasa diri macam tak bersedia lagi. Apa Kak Syah akan buat?"

"Siapa lelakinya Adi? Boleh Kak Syah tahu?"

"Ini contohlah Kak Syah..." Suaraku sudah berubah.

Aku jadi bimbang dia tahu apa yang tersimpan dalam lipatan hatiku.

"Ya ke? Tapi bunyinya detail semacam aja. Ada kawan suruh tanya ke ni? Atau..." Kak Syah tergelak-gelak pula.

Lama kemudian baru dia menjawab, "Banyakkan doa, minta Allah berikan petunjuk. Cuba tanya hati sendiri. Tak ada siapa yang bersedia 100 peratus. Beri peluang lelaki tu buktikan kesungguhan dia. Lagipun dia dah merisik dengan cara yang baik, kan. Mana tahu dari situ nanti, Allah anugerahkan sesuatu yang tak disangka-sangka. Kalau tak jadi sekalipun, tak mengapalah." Kak Syah membetulkan tudung biru mudanya yang ditiup angin.

"Amboi, bagi dalam bentuk point pula Kak Syah ni..."

Dia senyum. "Kak Syah pun pernah begitu, Adi. Orang nak jodohkan kita dengan seorang lelaki ni. Setahun Kak Syah beri peluang seluas-luasnya untuk dia. Tapi... mungkin jodoh tu memang tak ada. Hati sentiasa rasa serba tak kena..."

"Dah nak maghrib ni, jom kita balik." Abang Adam sudah berada di hadapan kami.

"Fida... Ooo... Rufaidah..." Kak Syah melaung Kak Fida yang ralit memerhati itik yang teroleng-oleng di permukaan air. "Rufaidah bint Sa'ad, the first professional nurse in Islamic history. Dari suku Khazraj... keluarga Bani Aslam. Lahir di Yathrib sebelum hijrah Nabi. Betul kan yang?" Kak Syah mendongak memandang suaminya.

"Mmm." Abang Adam membalas ringkas. "I almost thought that i lost you. Dah tamat pesta pantunnya?"

Mata Kak Syah mengecil. "Arham, malam ni kita tidur berdua aja tau. Cuma Arham aja yang sukakan pantun ibu. Mungkin bila besar nanti boleh jadi sasterawan..." Lantas satu kucupan dihadiahkan di pipi kanan Arham.

"Dulu kata dia ada potensi jadi saintis, sekarang lain pula. Yang mana satu ni?" Abang Adam menyampuk.

"Sayang cuma nak nampakkan pilihan yang dia ada..."

Abang Adam ketawa halus. "I tahu you memang ibu yang baik. Sangat memikirkan masa depan anak-anak kita. Walaupun dia baru setahun lebih." Katanya sambil mengelus rambut perang Arham.

Perutku bagai digeletek ingin ketawa. Kak Syah datang merapatiku."Kami pulang dulu ya. Jangan 'pilih' ex-debater. Banyak cakap. Nanti pening kepala." Dia pura-pura berbisik di telingaku.

"I heard that..."

Kak Syah kembali mendapatkan suaminya. Jalan berpimpin tangan. Alangkah bahagianya mereka, bisik hati kecilku.

Rona jingga menyinar di kaki langit. Siang kian melabuhkan tirainya. Waktu menyusun langkah pulang bersama Kak Fida, mataku bersapa dengan renungan Haiqal. Jantung bagaikan terhenti seketika. Lelaki itu segera berlalu.

Mengapa perlu seksa perasaan aku begini?



credit: alzun & kaksu
rujukan: Fikrah Islamiyyah

Posted at 10:32 am by anrys

 

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments




Previous Entry Home Next Entry