Hikari Express
No

(The Love Ride of Hikari Express)
Episod 4 "Hazel dengan Rafique macam mana sekarang?" soal Naz sebaik sahaja Rania keluar dari bilik Hazel. Sengaja dia bertanya soalan 'cepu cemas' itu malam ini.
Hazel melepaskan keluhan penat. Bintik peluh di dahi diseka dengan belakang tangan. Dia pergi memasang penghawa dingin. Batal hasrat ingin berjimat bulan ini. Cadangnya hendak kurangkan penggunaan penghawa dingin yang mengurangkan poketnya itu. Cuaca panas siang tadi masih terbawa-bawa sampai ke malam. Mandi pun tidak dapat mengurangkan rasa bahang yang bagaikan sudah terperangkap dalam badan.
Mata bundar Hazel tidak sengaja pura-pura buat tidak nampak Naz yang ternanti-nantikan jawapannya. Ingatkan Naz sudah terlupa soalannya yang tidak berjawab semasa Nia ada tadi. Saolan dibalas dengan soalan juga. Aduh, nampaknya Naz tak habis-habis lagi hendak mengorek rahsia hati Hazel!
"Entahlah Naz..." Nafas dilepaskan perlahan. Bersatu dengan bunyi deru penghawa dingin. "Boleh tak jangan sebut nama dia lagi? Kita sembang fasal lain..." cadang Hazel.
"Hazel ni teruklah. Naz selalu cerita fasal SK pada Hazel, tapi Hazel tak pernah nak cerita fasal Rafique..." Naz sudah merajuk. Tidak suka dengan sikap perahsia Hazel. "Mana syok cerita sendiri-sendiri. Hazel sekadar jadi pendengar. Mana cukup! Naz suka komunikasi dua hala..."
"Nak komunikasi dua hala dengan SK Naz lah. Dengan Hazel buat apa..." Hazel tertawa. Buah hati Naz siap ada kod nama ringkas. SK = Shamsul Kamal. Kalau macam itu, Rafique pun kena ada kod nama ringkas.
"Hal RM Hazel tu... P&C untuk Hazel seorang." RM bukannya untuk Ringgit Malaysia tapi Rafique Mukminin. Hazel terus menyambung bicara dalam hati sendiri.
"Wah, dia pun nak pakai kod ringkas." Naz menjelirkan lidah, mengejek Hazel meniru caranya membahasakan buah hatinya.
"Bukan ada copyright ke apa..." Hazel sudah malu-malu. Ah, dia pun sudah terlebih-lebih bicara soal lelaki.
"Soal hati... Hazel lebih suka simpan sendiri." Akhirnya Hazel menegaskan prinsip dirinya. Dia tidak suka berbual soal remeh-temeh begitu. "Harap Naz faham..."
"Kedekutnya..." Naz menarik muncung panjang-panjang. "Lain kali Naz tak nak cerita lagi pasal SK pada Hazel..." Naz sudah memeluk bantal bentuk hati yang dihadiahkan oleh Rafique. Hazel sekadar memandang telatah manja Naz.
Rafique Mukminin. Lelaki itu memang suka memberi hadiah tidak kira tarikh apa-apa pun. Dia sentiasa berusaha menyemarakkan rasa kasih antara mereka. Tapi entahlah... di sebelah pihak Hazel rasa kasih itu masih belum bertunas. Kenapa ya? Apa yang tidak kena tentang kita, Que?
"Oh, tak nak cerita tak apa. Tapi bantal yang Rafique beri tu jangan buat harta pula. Nak dipeluk-peluk sesuka hati..." Hazel sekadar bercanda. Sebenarnya dia tidak kisah pun. Saja-saja nak usik Naz yang manja itu.
"Sayang juga pada 'hati' Rafique yang satu ni. Ingatkan dah tak sayang..." Naz melemparkan bantal bentuk hati itu ke arah Hazel. Dia pula hendak usik Hazel.
Hazel menyambutnya. "Hadiah orang, Naz. Kenalah jaga. Tanda kita hargai orang tu..." Bantal itu diletakkan semula di atas katil.
Hazel dan Rafique memang selalu berbalas hadiah. Ya, mereka kenal melalui pertalian keluarga. Lantas mengikut kata ibu ayah, Hazel bersetuju dengan lamaran dari keluarga Rafique. Namun setahun sudah berlalu, hubungan mereka masih dingin. Tinggal lagi setahun sahaja tempoh pertunangan mereka sebelum mendirikan rumah tangga. Sudah setahun mereka sedaya upaya mengenali hati budi masing-masing.
Kadang-kadang Hazel terfikir untuk memutuskan pertunangan ini. Memikirkan hasrat orang tua kedua-dua pihak, dia masih bertangguh-tangguh menyatakan hasrat hatinya yang keliru itu.
Namun, mestikah sebuah perkahwinan dibina atas dasar cinta?
Sedangkan dalam sirah hidup Rasulullah SAW, baginda tidak pernah meletakkan cinta sesama manusia sebagai alasan dan dasar utama dalam mendirikan perkahwinan. Segala-galanya dilakukan kerana agama yang tercinta. Yang paling utama kerana mengharapkan redha Allah.
Mampukah Hazel melunakkan hatinya sendiri lalu menerima Rafique Mukminin semata-mata kerana Allah? Demi menggembirakan hati ibu ayah dan taat perintah kedua-duanya?
Posted at 12:48 am by anrys